Education

TARIKAN AURA AACSB: DELEGASI FEB UNPAS INDONESIA TERUJA BONGKAR RAHSIA KECEMERLANGAN IBS UUM

Gambar oleh: Aleesa Batrisyia Rosli & Nor Shazni Othisya Othman

Sintok – Keunggulan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai institusi pengajian tinggi yang memperoleh akreditasi antarabangsa Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) terus menarik perhatian institusi akademik luar negara apabila menerima kunjungan delegasi Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Pasundan (FEB UNPAS), Indonesia, baru-baru ini.

Delegasi yang diketuai oleh Dr. Mohamad Razab Iryadana bersama empat orang peserta lain telah disambut oleh Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor, bersama barisan staf IBS UUM.

Kunjungan ini bukan sekadar memenuhi agenda lawatan akademik, malah menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman berkaitan amalan terbaik dalam pengurusan serta pembangunan kecemerlangan sesebuah institusi perniagaan.

Antara perkara yang mencuri perhatian delegasi ialah kejayaan IBS UUM memperoleh akreditasi AACSB, satu pengiktirafan antarabangsa yang mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan pendidikan perniagaan.

Dalam sesi perbincangan, Dr. Mohamad Razab menzahirkan kekaguman terhadap pencapaian UUM dan menyatakan minat untuk meneroka dengan lebih mendalam perjalanan IBS UUM dalam mencapai pengiktirafan tersebut, termasuk aspek persediaan, strategi pelaksanaan dan amalan penambahbaikan berterusan yang menjadi antara elemen penting dalam memastikan standard kualiti akademik di peringkat antarabangsa.

Selain perkongsian berkaitan AACSB, kedua-dua institusi turut membincangkan potensi kerjasama strategik, khususnya dalam bidang penyelidikan bersama (collaborative research) serta kolaborasi akademik yang berupaya membuka lebih banyak peluang kepada pensyarah dan pelajar kedua-dua universiti.

Lawatan turut diserikan dengan sesi meninjau persekitaran kampus dan kemudahan prasarana UUM. Keunikan pengalaman kampus UUM turut memberikan kesan tersendiri kepada delegasi apabila Dr. Mohamad Razab berpeluang mencuba aktiviti go-kart di litar UUM, sekali gus melengkapkan kunjungan dengan pengalaman santai dan menarik.

Kunjungan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara IBS UUM dan FEB UNPAS, bukan sahaja dalam perkongsian kepakaran dan amalan terbaik, malah dalam memperluas jaringan penyelidikan serta kolaborasi akademik di peringkat serantau dan antarabangsa. – Prof. Madya Dr. Hydzulkifli Hashim

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button