SoE UUM perkasa budaya penyelidikan guru Sandakan melalui Bengkel Profesionalisme Penyelidikan
Berita dan gambar Dr. Muhd Zulhilmi Haron
SANDAKAN, 13 Mei 2026: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan peranan sebagai peneraju pembangunan profesionalisme pendidikan negara menerusi penganjuran Bengkel Profesionalisme Penyelidikan Guru-Guru Daerah Sandakan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat PPD Sandakan, 8 Mei lalu.
Program yang menghimpunkan seramai 50 guru sekolah rendah dan menengah sekitar daerah Sandakan itu bertujuan memperkasakan budaya penyelidikan dalam kalangan pendidik selain membuka ruang jaringan akademik antara warga sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Bengkel tersebut turut memberi pendedahan berkaitan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di UUM secara fleksibel.
Dekan SOE UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman menyampaikan ucapan perasmian yang menekankan kepentingan budaya penyelidikan sebagai pemangkin kepada transformasi pendidikan serta pembangunan guru sebagai agen perubahan dalam sistem pendidikan negara.
Menurutnya, guru masa kini bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah perlu menjadi penyelidik pendidikan yang mampu menganalisis isu bilik darjah secara kritikal dan menghasilkan intervensi yang memberi impak kepada kualiti pembelajaran murid.
Beliau turut menzahirkan komitmen SOE UUM dalam memperluaskan akses pendidikan pascasiswazah dan pembangunan profesional kepada warga pendidik khususnya di Sabah.
Program diteruskan dengan Slot 1: Sembang Santai yang menampilkan perkongsian pengalaman dan dialog interaktif berkaitan cabaran serta realiti dunia pendidikan semasa. Sesi tersebut memberi peluang kepada peserta berkongsi pandangan mengenai pembangunan kerjaya, inovasi pengajaran dan keperluan peningkatan kompetensi guru pada era pendidikan digital.
Slot 2 bertajuk Penyelidikan dalam Pendidikan telah dikendalikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni SOE UUM, Prof. Madya Dr. Mat Rahimi Yusof. Beliau mengupas kepentingan penyelidikan tindakan, penulisan ilmiah serta penggunaan penyelidikan sebagai medium penambahbaikan amalan pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. Peserta turut didedahkan dengan asas pembinaan proposal penyelidikan, metodologi kajian dan potensi penerbitan akademik dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Slot 3 bertajuk Meneroka Ruang dan Peluang di UUM disampaikan oleh Pengerusi Program Pascasiswazah Luar Kampus/Pesisir SOE UUM, Dr. Muhd Zulhilmi Haron. Sesi tersebut memberi penerangan terperinci mengenai peluang pengajian fleksibel di UUM termasuk mod pengajian luar kampus, syarat kemasukan, peluang biasiswa serta laluan akademik yang sesuai untuk guru yang sedang berkhidmat.
Dr. Muhd Zulhilmi berkata, pendekatan pendidikan fleksibel yang ditawarkan UUM dilihat mampu membantu guru meningkatkan tahap akademik tanpa menjejaskan komitmen kerjaya, sekali gus menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pendidik.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta menunjukkan penglibatan aktif khususnya dalam sesi konsultasi berkaitan penyelidikan tindakan, peluang menyambung pengajian serta pembangunan kerjaya akademik. Program itu turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan strategik antara UUM dan warga pendidik daerah Sandakan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan yang lebih progresif dan berimpak tinggi.
Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan SOE UUM dalam menyerlahkan keterlihatan institusi di peringkat kebangsaan melalui pendekatan turun padang bersama komuniti pendidikan, selaras dengan aspirasi pendidikan MADANI yang menekankan pembangunan ilmu, profesionalisme dan kesejahteraan masyarakat.



