Campus

Tiga Pelajar UUM cipta kejayaan dalam Pertandingan “Chinese Bridge” Peringkat Universiti Malaysia Ke-25

Berita dan gambar oleh: Tan Pin Wooi

Kuala Lumpur, 9 Mei 2026: Tiga pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengharumkan nama universiti apabila meraih pencapaian membanggakan dalam Pertandingan Chinese-Bridge Chinese Proficiency Competition for Malaysian Universities Students Ke-25 yang berlangsung di Institut Kong Zi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Pertandingan yang bertemakan “One World, One Family” ini dianjurkan oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia dengan kerjasama Institut Kong Zi, Universiti Malaya. Pertandingan ini bertujuan menyediakan platform kepada pelajar universiti di Malaysia yang mempelajari bahasa Mandarin untuk mempamerkan kemahiran bahasa, meningkatkan minat terhadap pembelajaran Mandarin serta memperkukuh asas pembelajaran bahasa Mandarin secara berterusan.

Dalam pertandingan tersebut, Anggriana Lian Arimbi Wagi Susanto berjaya meraih Anugerah Gaya Terbaik, manakala Chuthawadi A/P Krai dan Nurfarizwa Natasyar Raziatol Azman masing-masing menerima Anugerah Sagu Hati.

Penyertaan pelajar UUM dalam pertandingan ini membuktikan keupayaan mereka untuk menguasai dan menggunakan bahasa Mandarin dalam pelbagai aspek, khususnya melalui kuiz bahasa dan budaya Cina, pertandingan pidato bertema, persembahan bakat serta komunikasi secara spontan. Berdasarkan format pertandingan, para peserta dinilai melalui beberapa komponen utama, iaitu kuiz bahasa Mandarin secara dalam talian, pidato dalam bahasa Mandarin bertemakan “One World, One Family”, persembahan bakat budaya Cina, serta pidato spontan bagi lima peserta terbaik.

Menurut para peserta, pertandingan ini bukan sahaja menguji tahap penguasaan bahasa Mandarin, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk membina keyakinan diri, mengasah kemahiran komunikasi, memahami budaya Cina dengan lebih mendalam dan berinteraksi dengan peserta daripada pelbagai universiti serta latar belakang.

Mereka turut menyatakan bahawa cabaran utama sepanjang persediaan pertandingan adalah untuk meningkatkan kelancaran sebutan Mandarin, menghafal dan menyampaikan pidato dengan penuh penghayatan, serta membuat persediaan bagi persembahan yang mampu menonjolkan kreativiti, keyakinan dan kefahaman terhadap budaya Cina. Walau bagaimanapun, pengalaman pembelajaran di dalam kelas, latihan bersama guru pembimbing dan sokongan rakan-rakan banyak membantu mereka meningkatkan keyakinan untuk beraksi di pentas pertandingan.

Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie, berkata pencapaian tersebut merupakan satu kejayaan yang membanggakan kepada para peserta, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) serta Universiti Utara Malaysia secara keseluruhannya.

Menurut beliau, penyertaan pelajar UUM dalam pertandingan berprestij seperti Chinese Bridge membuktikan bahawa pembelajaran bahasa asing, khususnya bahasa Mandarin, mampu memperkukuh kemahiran komunikasi dan pemahaman silang budaya dalam kalangan pelajar.

“Pencapaian ini menunjukkan bahawa pelajar UUM mempunyai potensi yang besar untuk bersaing di peringkat kebangsaan. Penguasaan bahasa Mandarin juga menjadi nilai tambah penting kepada pelajar dalam menghadapi dunia kerjaya yang semakin global,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Dr. Nur Rasyidah binti Mohd Nordin, berkata kejayaan tersebut mencerminkan kesungguhan pelajar UUM dalam memanfaatkan peluang pembelajaran di luar bilik kuliah.

Menurut beliau, penyertaan dalam pertandingan bahasa dan budaya seperti ini amat penting kerana dapat membentuk keyakinan diri, keberanian berkomunikasi serta kemahiran insaniah pelajar secara lebih menyeluruh.

“Pertandingan ini bukan sahaja menguji keupayaan pelajar bertutur dalam bahasa Mandarin, malah turut melatih mereka untuk berfikir secara kreatif, berinteraksi dengan peserta daripada pelbagai latar belakang dan menampilkan diri dengan yakin di pentas kebangsaan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para guru pengiring dan pembimbing atas komitmen mereka dalam melatih serta membimbing peserta sehingga berjaya mencatat pencapaian yang membanggakan.

Para peserta turut menerima bimbingan dan sokongan daripada guru pengiring, iaitu Cik Ang Wei Yin, Cik Fan Libo, Cik Huang Jun, Cik Yang Jia dan Cik Yang Furong dari SLCP, UUM. Komitmen para guru dalam memberikan latihan, tunjuk ajar dan sokongan moral telah memainkan peranan penting dalam membantu peserta membuat persediaan yang rapi serta tampil yakin sepanjang pertandingan berlangsung.

Kejayaan ini menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa Mandarin di UUM bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik, tetapi juga memberi ruang kepada pelajar bukan penutur jati Mandarin untuk mengembangkan potensi diri melalui pertandingan bahasa, persembahan budaya dan aktiviti antarabangsa. Penyertaan dalam pertandingan seumpama ini juga dapat memperluas pengalaman pelajar dalam komunikasi antara budaya serta meningkatkan minat mereka terhadap bahasa dan budaya Cina.

Pencapaian Anggriana Lian Arimbi binti Wagi Susanto, Chuthawadi A/P Krai dan Nurfarizwa Natasyar binti Raziatol Azman diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar UUM untuk mempelajari bahasa Mandarin, menyertai pertandingan bahasa serta memperluas jaringan persahabatan dan pemahaman antara budaya.

Tahniah diucapkan kepada semua peserta atas pencapaian cemerlang ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih gemilang dalam pertandingan “Chinese Bridge” pada masa akan datang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button