Campus

Kunjungan hormat pasukan PPDK impian UUM ke Pejabat TNC HEPA perkukuh perancangan infrastruktur dan pengoperasian  

Berita dan gambar oleh: Dr. Yusniza Binti Mohd Yusoff

SINTOK, 12 Mei 2026: Jawatankuasa penaja PPDK IMPIAN UUM telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Madya Dr. Bakti Hassan Basri.

Sesi tersebut diketuai oleh Pengerusi PPDK IMPIAN UUM, Dr. Nazmin Abdullah bersama barisan jawatankuasa PPDK IMPIAN UUM. Kunjungan yang berlangsung di pejabat TNC HEPA itu turut dihadiri Encik Muhammad Husaini Salleh daripada Jabatan Sumber Manusia serta Cik Sharima Ruwaida Abbas daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang juga pensyarah di SAPSP UUM.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah perancangan infrastruktur dan cadangan lokasi PPDK IMPIAN UUM. Perbincangan turut menyentuh garis masa pelaksanaan dan pengoperasian pusat berkenaan.

Menurut Dr. Nazmin, kunjungan hormat tersebut bertujuan memaklumkan kepada pihak TNC HEPA mengenai perkembangan terkini PPDK IMPIAN UUM susulan majlis penyerahan cek cura bernilai RM1.5 juta daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada April lalu.

Beliau berkata, perancangan yang teliti amat penting bagi memastikan PPDK IMPIAN UUM dapat beroperasi secara sistematik, profesional dan memberi manfaat optimum kepada komuniti sasaran.

Tambah beliau, kerjasama strategik bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) juga dijangka dapat membuka peluang serta memberi manfaat kepada para pelajar Universiti Utara Malaysia dalam pelbagai aspek pembangunan dan keterlibatan komuniti.

Kunjungan hormat tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan serta pengoperasian PPDK IMPIAN UUM yang lebih teratur dan lancar.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button