Industri Hospitaliti Perluas Jaringan Strategik TVET bersama Pengurusan TVET UUM bagi Memperkasa Pendidikan Kemahiran Hospitaliti
Berita dan gambar oleh: Dr Wahida Yaakub
KUALA LUMPUR, 7 Mei 2026: Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia telah menerima kunjungan strategik daripada wakil industri hospitaliti bagi meneroka potensi kolaborasi dalam pembangunan pendidikan kemahiran, persijilan profesional dan pembangunan bakat industri yang lebih berdaya saing serta memenuhi keperluan sektor hospitaliti masa kini.
Sesi perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Sintok, UUM Kuala Lumpur melibatkan delegasi daripada Rangkaian Hotel Seri Malaysia yang diketuai oleh Mohd Jailani Ab Salam selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif bersama Haziran Mohammad, Pengurus Sumber Manusia dan Pentadbiran, Irnal Bahrun, Pengurus Zon Pengurusan Hotel serta Mohd Arif selaku Pegawai Khas Pengerusi. Delegasi telah disambut oleh Provos UUM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Norlena Hasnan bersama Dekan Prof. Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman, Pengarah Pengurusan TVET UUM Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Hj. Ahmad serta Timbalan Pengarah Pengurusan TVET UUM, Encik Kamal Khalid.
Objektif perbincangan adalah penerokaan peluang pelaksanaan persijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) khusus kepada tenaga kerja mahir industri perhotelan.
Sesi perkongsian turut menyentuh potensi peluasan kerjasama melibatkan pembangunan latihan kemahiran, peningkatan kompetensi pekerja industri serta peluang melanjutkan pengajian di UUM Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh pembangunan modal insan berteraskan industri.

Pendekatan strategik ini sejajar dengan aspirasi Pengurusan TVET UUM dalam memperkasa ekosistem pendidikan kemahiran yang lebih fleksibel, relevan dan memenuhi keperluan industri masa kini.
Pengurusan TVET UUM berharap kolaborasi strategik bersama pemain industri hospitaliti ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga kerja yang lebih kompeten, profesional dan bersedia menghadapi transformasi industri perkhidmatan dan hospitaliti pada masa hadapan.



