Kolaborasi strategik UUM dan MPOB gabungkan STML dan SEFB
Berita dan gambar Nur Azean Baharom
BANGI, 17 Mei 2026: Satu langkah proaktif dalam memperkukuhkan sinergi antara akademik dan industri telah dizahirkan melalui sesi pembentangan cadangan penyelidikan strategik kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Misi penting ini diketuai sendiri oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, RMC, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain.

Kehadiran delegasi universiti telah disambut baik oleh Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahamad Parvees Ghulam Kadir bersama barisan pengurusan tertinggi MPOB.
Di bawah naungan Kementerian Perladangan dan Komoditi, pertemuan ini bukan sekadar sesi teknikal, malah merupakan satu manifestasi tanggungjawab ilmuwan terhadap pembangunan ekonomi negara.
Apa yang menjadikan misi ini lebih istimewa adalah penggabungan kepakaran daripada dua pusat pengajian utama UUM iaitu Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
Sinergi ini mencerminkan pendekatan holistik universiti dalam menangani cabaran industri sawit secara menyeluruh daripada aspek rantaian bekalan dan teknologi hijau sehinggalah kepada ekonomi komoditi dan pembiayaan lestari.

Pasukan penyelidik STML diwakili oleh Dr. Maheera Mohamad dan Dr. Chong Khai Lin, manakala pasukan SEFB pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri: Dekan, SEFB, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid dan Pensyarah Kanan, SEFB, Dr. Nur Adeelah Che Ahmad Tantowi.
Penggabungan STML dan SEFB dalam misi ini adalah bukti komitmen UUM untuk tidak lagi bekerja dalam silo. Industri sawit memerlukan penyelesaian yang pantas dan komited, teknologi dan logistik sahaja tidak cukup tanpa sokongan model ekonomi dan kewangan yang kukuh. Sinergi ini akan melonjakkan UUM sebagai rujukan utama dalam penyelidikan komoditi sawit negara.
Datuk Dr. Ahamad Parvees menyambut baik inisiatif ini dan mengalu-alukan kolaborasi strategik sebegini.
Menurutnya, pendekatan dua pusat pengajian UUM ini sangat relevan dengan keperluan semasa industri.

“Kami tidak hanya memerlukan teknologi baharu, tetapi juga model kewangan dan ekonomi yang mampu membawa industri sawit ke arah kelestarian jangka panjang.
“Kami berharap kerjasama ini dapat menjadi contoh terbaik bagi institusi pengajian tinggi lain,” katanya.
Inisiatif ini diharap dapat memacu masa depan industri sawit Malaysia melalui pendekatan holistik yang menggabungkan kecemerlangan teknologi, logistik, ekonomi dan kewangan, sekaligus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global industri sawit yang lestari.



