Campus

UUM lancar pelbagai inisiatif baharu demi kesejahteraan warga kampus

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 19 Mei 2026: Seramai 819 staf dan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) hadir memeriahkan Perhimpunan Bulanan Staf UUM dan Pelancaran UUM COB Week 2026 yang berlangsung di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah pagi ini.

Program anjuran Kolej Perniagaan (COB), UUM itu menghimpunkan warga universiti dalam usaha memperkukuh sinergi serta menyampaikan perkembangan dan inisiatif terkini universiti.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, peningkatan jumlah kehadiran pada setiap perhimpunan bulanan membuktikan warga universiti semakin memahami tujuan serta matlamat penganjuran program tersebut.

“Semakin hari semakin ramai yang turun menyertai perhimpunan bulanan. Ini menunjukkan warga universiti semakin memahami apa yang berlaku di universiti serta matlamat UUM mengadakan perhimpunan bulanan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian program berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi dua perkara penting kepada warga universiti iaitu penjenamaan semula Inasis Petronas kepada Inasis Perodua, selain mengumumkan Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Staf UUM (HIMPU) yang dijadualkan berlangsung pada 4 Jun 2026 sebagai platform menghargai sumbangan serta jasa warga UUM yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung sesi pelancaran dan penyerahan beberapa inisiatif universiti melibatkan UUM COB Week 2026, Sistem i-Care, Menu Kasih Siswa, Aplikasi Pengurusan Kebersihan UUM SpotFix, Poster ADAB serta penyerahan komputer riba kepada penerima terlibat.

Program UUM COB Week 2026 dianjurkan sebagai satu inisiatif fakulti oleh Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter bagi memperkukuh kolaborasi antara kelab-kelab di bawah Kolej Perniagaan (COB) serta merapatkan hubungan dengan rakan industri. Dalam persekitaran ekonomi dan perniagaan yang semakin dinamik dan mencabar, program tersebut menjadi platform kepada mahasiswa untuk meningkatkan pengetahuan akademik di samping membentuk kemahiran kepimpinan, pemikiran strategik dan kebolehan membuat keputusan secara kritikal.

Pusat Penginapan Pelajar (SAC), HEP memperkenalkan i-Care Service (Inasis Care), iaitu sebuah platform khusus yang diwujudkan bagi membantu pelajar menyalurkan aduan serta maklum balas berkaitan fasiliti dan perkhidmatan kampus dengan lebih mudah, cepat dan sistematik.

Melalui inisiatif ini, pelajar kini boleh melaporkan isu berkaitan kerosakan fasiliti INASIS, perkhidmatan bas kitaran kampus, kafeteria serta kemudahan lain hanya dalam beberapa langkah melalui Portal Pelajar UUM atau Aplikasi Mudah Alih UUM Student 2.0. Setiap aduan dan maklum balas yang diterima akan dipantau serta diproses secara teliti bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil dengan lebih efisien.

Turut diperkenalkan ialah UUM SpotFix, iaitu aplikasi pengurusan kebersihan di UUM yang merupakan inisiatif Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK). Aplikasi tersebut dibangunkan bagi menangani isu ketidakcekapan pengurusan aduan kebersihan di kampus Sintok, sekali gus mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan memastikan persekitaran kampus yang lebih bersih, sistematik serta kondusif kepada warga universiti.

Lebih membanggakan, inovasi UUM SpotFix ini telah dipilih oleh panel juri untuk mewakili UUM ke Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Peringkat Universiti Awam Kali Ke-18 yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 Ogos nanti.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan sesi penyerahan Poster ADAB (A – Sapa dengan Salam, D – Sentiasa Berdoa, A – Amanah dan B – Berterima Kasih). Inisiatif yang diterajui oleh Pusat Islam itu memberi penekanan terhadap pembentukan nilai dan akhlak melalui penghayatan akronim ADAB. Nilai tersebut turut menjadi asas kepada slogan UUM, Ilmu, Budi dan Bakti.

Poster tersebut diserahkan kepada pihak pengurusan iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta Pendaftar UUM sebagai wakil komuniti universiti.

Turut disaksikan penyerahan komputer riba kepada 15 penerima dalam kalangan pelajar yang berjaya melepasi saringan yang ditetapkan bagi agihan kali ketiga tahun ini. Secara keseluruhannya, seramai 42 pelajar telah menerima bantuan komputer riba sejak Januari 2026. Agihan bantuan ini diadakan setiap semester untuk pelajar yang memerlukan.

Program tersebut diakhiri dengan sesi bergambar dan aktiviti Brisk Walk yang disertai warga universiti sebagai usaha menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button