Perodua sediakan kereta sewa murah kepada pelajar UUM
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 18 Mei 2026: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) kini boleh menikmati kemudahan kereta sewa dalam kampus menerusi aplikasi UCar-E yang diperkenalkan oleh Perodua sebagai projek rintis pertama di institut pengajian tinggi negara ini.
Melalui kerjasama antara Perodua dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelajar dan staf boleh memuat turun aplikasi tersebut bagi menyewa kenderaan jenis Myvi untuk kegunaan dalam kampus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, projek rintis itu dilancarkan serentak dengan majlis penamaan kolej kediaman pelajar sebagai INASIS Perodua di UUM semalam.
Katanya, sebanyak lima buah Myvi disediakan pada fasa permulaan dengan kadar sewaan yang berpatutan untuk kemudahan pelajar.
“Sebanyak 20 lagi kenderaan dijangka akan dibawa masuk dalam masa terdekat bagi meluaskan kemudahan ini,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan UUM sebagai rakan sinergi dibuat berdasarkan reputasi universiti itu sebagai antara institusi terbaik di Asia yang cemerlang dalam bidang akademik dan penyelidikan.

“Pihak Perodua mempunyai keyakinan tinggi terhadap potensi, daya saing dan kualiti mahasiswa UUM untuk menjadi pemimpin berwibawa pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, pelajar INASIS Perodua juga akan terlibat dalam pelbagai aktiviti gaya hidup dan kepimpinan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed menzahirkan penghargaan kepada Perodua atas kerjasama strategik tersebut.
“Hasil kolaborasi ini, kemudahan di INASIS Perodua telah dinaik taraf sehingga menjadi antara kolej kediaman tercantik dan paling ceria di UUM,” katanya. – Noor Zafiera Ahmad Idris



