Campus
Terjemah teori ke realiti: Pelajar Sarjana Kerja Sosial UUM jalani pembelajaran lapangan
Berita dam gambar oleh: Prof Madya Dr Rajwani Md Zain
KUALA LUMPUR, 16 Mei 2026: Sekumpulan pelajar program Sarjana Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan pendidikan dan sesi libat urus di Anjung Singgah/Anjung Kembara bagi memperkukuh kefahaman terhadap aspek tingkah laku manusia dalam persekitaran sosial melalui pengalaman pembelajaran secara langsung di lapangan.
Program tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran bagi kursus Human Behaviour in the Social Environment yang diikuti oleh pelajar Sarjana Kerja Sosial UUM.

Lawatan berkenaan bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam memahami perkembangan psikososial, corak tingkah laku serta pengaruh persekitaran sosial terhadap individu daripada pelbagai latar belakang, khususnya komuniti yang berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan.
Pensyarah bagi Kursus tersebut, Prof Madya Dr Rajwani Md Zain berkata, aktiviti berbentuk pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) seperti ini penting bagi membantu pelajar menghubungkan teori yang dipelajari di dalam bilik kuliah dengan situasi sebenar yang berlaku dalam masyarakat.

“Pendekatan pembelajaran secara langsung ini membolehkan pelajar memperoleh perspektif yang lebih luas terhadap realiti sosial dan memahami cabaran yang dihadapi oleh komuniti rentan melalui interaksi secara terus.
“Selain meningkatkan kefahaman akademik, program seperti ini juga mampu membentuk nilai empati, kemahiran komunikasi serta meningkatkan keupayaan pelajar dalam mengendalikan situasi sosial secara profesional,” katanya.
Sepanjang lawatan tersebut, para pelajar turut berpeluang menjalankan sesi interaksi dan temu bual ringkas bagi memahami latar belakang serta pengalaman hidup individu yang terlibat untuk tujuan pembelajaran dan analisis akademik.

Di samping itu, pelajar turut melaksanakan aktiviti santai bersama komuniti dalam suasana yang selamat, beretika dan penuh hormat bagi mewujudkan hubungan yang positif serta memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.
Program seumpama ini selaras dengan komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki kesedaran sosial yang tinggi, kompeten serta bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat.



