UUM raih pingat emas di IVCCII 2026: Inovasi AI perkukuh kedudukan di pentas antarabangsa
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim
SINTOK, 20 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencipta kecemerlangan di peringkat global apabila projek penyelidikan bertajuk “Machine Learning–Driven Delaunay Triangulation Refinement for Fast and Accurate Scattered Data Interpolation” berjaya merangkul pingat emas di International Virtual Competition Of Creative & Innovative Idea 2026 (IVCCII 2026) pada 16 Mei lalu.

Pertandingan berprestij anjuran MNNF-Networks ini menghimpunkan sebanyak 185 projek inovatif dari Malaysia, Indonesia dan Pakistan yang melalui proses penilaian ketat oleh dua juri bebas daripada panel 63 pakar terkemuka antarabangsa, sekali gus menjadikan pengiktirafan ini amat signifikan dan berprestij.
Kejayaan ini diterajui oleh Prof. Madya Ts. Dr. Samsul Ariffin Abdul Karim daripada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, UUM, yang turut merupakan Felo Kanan, Institute of Strategic Industrial Decision Modelling (ISIDM) UUM serta Ketua, Computational Statistics and Applied Mathematics (CSAM) UUM.
Dr. Samsul Ariffin berkata, kejayaan ini juga merupakan hasil kolaborasi penyelidikan antara UUM dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), melibatkan rakan penyelidik Owen Tamin.

Menurutnya, pencapaian ini mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan aplikasi machine learning dalam bidang geometri pengiraan dan interpolasi data.
“Setinggi-tinggi penghargaan turut dirakamkan kepada pihak penganjur atas penganjuran platform antarabangsa yang inklusif dan berimpak tinggi, sekali gus memupuk budaya inovasi, kreativiti dan kerjasama rentas sempadan.
“Penyelidikan ini dibiayai sepenuhnya oleh Geran Penjanaan Universiti Utara Malaysia [SO Code: 22139] bertajuk “A Machine Learning-Based Scattered Data Interpolation for Image Enhancement”, yang menyokong pembangunan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan untuk aplikasi dunia sebenar,” katanya.
Owen Tamin turut berkongsi refleksi yang penuh inspirasi, sekali gus menyuntik semangat dan keazaman tinggi dalam kalangan penyelidik muda.
“Kejayaan tidak datang dengan mudah. Setiap langkah yang kita tempuh menuntut pengorbanan dan kesungguhan. Tetapkan azam yang jitu untuk berjaya.

“Anugerah antarabangsa ini menjadi bukti bahawa setiap usaha yang dicurahkan akhirnya mendapat pengiktirafan yang sewajarnya!,” katanya.
Kata-kata ini menjadi bukti bahawa di sebalik setiap kejayaan, terdapat pengorbanan, kecekalan dan sokongan yang tidak ternilai. “Selamat maju jaya, Owen, untuk Viva PhD nanti!”
Kejayaan ini juga menyokong agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya:
- SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui penghasilan penyelidikan berimpak tinggi,
- SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) melalui pembangunan teknologi berasaskan AI,
- SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) melalui kolaborasi antara institusi.
Pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam meneroka penyelesaian inovatif yang menggabungkan kecerdasan buatan dan pemodelan matematik demi manfaat masyarakat global.
Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat!



