UUM perkasa usahawan qariah Masjid Abidin Kuasai analisis kos-volum-untung di nadi Changlun
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Idawati Ibrahim
CHANGLUN, 16 Mei 2026 – Usahawan mikro dalam kalangan ahli qariah Masjid Abidin, Sungai Laka, terus diberikan bimbingan bagi memantapkan aspek pengurusan perniagaan menerusi siri ketiga projek Geran Inovasi Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bengkel kali ini memfokuskan kepada Modul 3: Analisis Kos-Volum-Untung (KVU) sebagai kesinambungan kepada usaha berterusan bagi memperkasakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di daerah Kubang Pasu.

Siri ketiga ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Changlun. Menerusi kolaborasi ini, seramai 10 orang peserta yang hadir telah berpeluang menggunakan fasiliti komputer dan akses internet berkelajuan tinggi yang disediakan di pusat tersebut. Kemudahan tempat yang selesa, berteknologi tinggi, serta kondusif amat membantu kelancaran bengkel yang sememangnya melibatkan penggunaan komputer secara praktikal.
Peserta yang hadir terdiri daripada tiga komuniti utama—iaitu usahawan belia, wanita, pesara (pencen), serta Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid—bagi memanfaatkan modul latihan pengurusan kewangan strategik tersebut.
Sesi perkongsian berimpak tinggi selama setengah hari itu dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, pensyarah merangkap pakar sistem maklumat perakaunan dan dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM).

Menurut Dr. Raja Haslinda, Analisis KVU merupakan satu alat pengurusan yang amat mudah namun kritikal untuk membantu usahawan mikro memahami hubungan langsung antara kos perniagaan, jumlah jualan, dan untung bersih.
“Melalui modul ini, para peserta didedahkan dengan kaedah mengasingkan Kos Tetap seperti sewa kedai, dengan Kos Berubah seperti bahan mentah. Pemahaman ini penting bagi membolehkan mereka mengira Margin Sumbangan serta Titik Pulang Modal (BEP) dengan tepat,” katanya.

Tambah beliau, formula KVU membolehkan peniaga kecil merancang sasaran untung bulanan secara realistik, selain membantu mereka membuat keputusan bijak sama ada untuk menyelaraskan harga jualan atau mengurangkan kos operasi demi mengurangkan risiko kerugian.
Bagi memantapkan lagi pemahaman, penceramah telah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan komputer di NADI Changlun dengan mengintegrasikan penggunaan aplikasi Microsoft Excel bagi latihan pengiraan digital, di samping aktiviti interaktif menggunakan aplikasi Kahoot yang menjadikan suasana pembelajaran lebih dinamik.
Pihak penganjur UUM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kerjasama erat serta sokongan padu yang diberikan oleh pihak NADI Changlun dalam menyediakan fasiliti terbaik demi menjayakan program pemindahan ilmu ini. Usaha murni ini diharap dapat melahirkan usahawan qariah yang lebih berdaya saing, celik digital, dan mampu mengemudi perniagaan dengan lebih sistematik.



