Campus

Kolaborasi UUMKL-AFFIN PROME cetus transformasi akademik pelajar SPM

Berita dan gambar oleh Dr. Chan Cheong Chong dan Fazilah Mohd Othman

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2026: Satu majlis apresiasi yang gilang-gemilang bagi meraikan pelajar lepasan SPM 202 dari SMK Taman Seri Rampai telah berlangsung di Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL). Majlis ini merupakan acara penutup bagi projek komuniti yang diketuai oleh Cik Fazilah Mohd Othman bersama barisan pensyarah UUMKL yang telah dilaksanakan selama dua tahun.

Projek komuniti yang dikenali sebagai PROME (Projek Mathematics & English) merupakan satu inisiatif kerjasama strategik antara UUMKL, AFFIN BANK BERHAD dan SMK Taman Seri Rampai bagi membantu sekumpulan 40 orang pelajar meningkatkan kemahiran serta pengetahuan mereka dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik.

Para pelajar telah mengikuti kelas tuisyen tambahan setiap hari Isnin yang dikendalikan oleh guru-guru sekolah dengan sokongan program bimbingan (mentoring) daripada para pelatih (trainees) AFFIN BANK serta penyelidik dari Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur. Program ini telah dilaksanakan dalam tiga fasa sepanjang tempoh dua tahun, bermula dari tahun 2024 hingga 2025.

Pencapaian para pelajar dalam peperiksaan SPM 2025 amat membanggakan dan membuktikan keberkesanan program bimbingan yang telah dilaksanakan sepanjang projek ini.  Sebanyak 30% daripada pelajar berjaya memperoleh gred cemerlang (A- hingga A+) bagi subjek Matematik, manakala 45% lagi memperoleh gred cemerlang (A- hingga A+) bagi subjek Bahasa Inggeris. Pencapaian ini membuktikan impak signifikan hasil pelaksanaan projek komuniti yang diterajui oleh Cik Fazilah Mohd Othman dan pasukannya.

Lebih membanggakan, saudari Siti Intan Nurraisah bt Mazlan berjaya memperoleh gred A+ bagi kedua-dua subjek dalam SPM 2025. Selain itu, tiga orang pelajar turut mencatatkan pencapaian cemerlang dengan memperoleh gred A penuh bagi kedua-dua subjek tersebut.

Majlis Apresiasi SPM-PROME ini telah dihadiri Oleh Tuan Syed Muhammad B. Syed Muhammad Nasir, Ketua Jabatan Syariah AFFIN ISLAMIC BANK BERHAD, Cikgu Azlina mewakili Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Taman Seri Rampai, Tuan Muhamad Nor Azam B. Ahmad Mion, Timbalan PPD Bangsar Pudu, Sektor Pembelajaran, yang juga merupakan mantan Pengetua SMK Taman Seri Rampai, para pegawai AFFIN BANK, para guru, ibu bapa, serta para pelajar lepasan SPM.

Para pelajar cemerlang turut menerima hadiah wang tunai sebagai tanda penghargaan atas pencapaian membanggakan dan usaha gigih mereka sepanjang tempoh pembelajaran. Majlis turut diserikan dengan taklimat ringkas berkaitan laluan pendidikan TVET selepas SPM.

Semoga para pelajar terus melakar kejayaan dan menjadi insan cemerlang dalam menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Sekalung tahniah turut dirakamkan kepada pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur yang terdiri daripada Cik Fazilah Mohd Othman selaku ketua projek, Prof. Madya Dr. Ahmad Rizal Mazlan, Prof. Madya Dr. Bidayatul Akmal Mustafa Kamil, Prof. Madya Dr. Aizan Yaacob dan Dr. Chan Cheong Chong atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan projek komuniti ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button