Perterjemahan hasil penyelidikan akademik kepada rencana Korporat dan kemasyarakatan: Analisis metodologi penulisan kreatif TISSA-UUM
Gambar oleh: Muhammad Muadz Bin Madzlan
SINTOK, 19 Mei 2026: Pemindahan ilmu daripada korpus penyelidikan universiti kepada masyarakat memerlukan satu mekanisma penterjemahan wacana yang dinamik bagi merapatkan jurang komunikasi antara sarjana dan masyarakat awam.
Oleh itu, Jawatankuasa Penerbitan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM) 2026 telah menganjurkan satu program penulisan rencana media kepada tenaga akademik.

Program ilmiah bertajuk “Bengkel Menulis Rencana Daripada Hasil Penyelidikan Kepada Masyarakat” telah dilaksanakan secara intensif yang bertujuan untuk melatih para akademik menterjemahkan data empirikal yang kompleks kepada bentuk penulisan rencana yang bersifat santai, menarik, namun tetap mengekalkan ketepatan impak maklumat.
Inisiatif strategik ini diterajui dan diketuai sepenuhnya oleh Profesor Madya Dr. Zaimah Abdullah selaku Ketua Jawatankuasa Penerbitan TISSA 2026 di mana jawatankuasa ini memfokuskan kepada peningkatan visibiliti penyelidikan akauntantasi agar dapat dimanfaatkan secara langsung oleh komuniti luar, industri, dan pembuat dasar negara.
Bengkel ini menampilkan pakar media dan komunikasi tersohor, Profesor Madya Dr. Azahar Kasim daripada Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), UUM selaku penyampai dan fasilitator utama yang berkongsi perspektif rentas disiplin yang menggabungkan elemen kewartawanan profesional dengan metodologi penyelidikan akademik formal.

Dalam sesi pembukaan, Dr. Azahar menegaskan bahawa takrifan rencana (features) dalam dunia penulisan moden adalah sangat luas dan anjal yang dikategorikan berasaskan elemen berita, penyelidikan murni, siasatan mendalam, ataupun huraian berbentuk santai yang mampu menyentuh emosi pembaca awam.
Menurut beliau, subjek utama rencana tidak mempunyai had limitasi yang tegar kerana pengkaji boleh menulis tentang apa sahaja aspek, merangkumi naratif berkenaan sesuatu tempat, dokumentasi peristiwa, profil manusia, biografi haiwan, keunikan objek, sehinggalah kepada adaptasi penuh hasil kajian saintifik.
Prinsip utama yang ditekankan dalam bengkel ini adalah “mencari perkara luar biasa di sebalik perkara yang biasa” (find the uncommon in the common) di mana pendekatan metodologi ini memerlukan penulis rencana untuk melihat data-data rutin kajian daripada lensa yang unik, bagi mendedahkan interpretasi baharu yang segar kepada masyarakat.

Dr. Azahar turut menjelaskan bahawa sesuatu idea rencana akademik haruslah bersifat dinamik dan tidak statik yang perlu memastikan ia berkesan dengan mengandungi potensi elemen drama, konflik naratif, kontras perbandingan, serta elemen keterujaan yang mampu memancing serta mengekalkan perhatian (attention span) pembaca.
Beliau turut memberikan penekanan kritikal terhadap fasa penyuntingan teks yang merangkumi semakan kandungan, struktur aliran (flow), tempo penulisan, dan ketepatan mekanis serta menasihati penulis untuk mengelakkan perenggan yang terlalu panjang, pembaziran kata (wordiness), penggunaan jargon akademik yang keterlaluan, serta penggunaan klise dan kata sifat yang over-prediktif.
Pada penghujung bengkel, para peserta diingatkan tentang falsafah penulisan kritikal yang berkesan, iaitu keupayaan untuk mengimbangi antara analisis intelektual yang mendalam dengan gaya penyampaian yang santai kerana rencana akademik yang berjaya untuk masyarakat awam haruslah dirasai sebagai sebuah pendedahan baharu (revelation), dan bukannya berbentuk sebuah leteran atau kuliah yang rigid.
Secara keseluruhannya, bengkel anjuran Jawatankuasa Penerbitan TISSA 2026 ini telah berjaya membuka dimensi baharu dalam kalangan ahli akademik UUM di mana melalui integrasi ilmu kewartawanan moden ini, hasil-hasil penyelidikan berimpak tinggi kini bersedia untuk dialirkan keluar dari menara gading demi pencerahan dan pemerkasaan masyarakat maklumat. – Prof. Madya Dr. Zaimah Abdullah



