Riadah Kayak INASIS MISC Kukuhkan Hubungan JKPS dan Pengurusan
Berita dan gambar oleh: INASIS MISC
SINTOK, 19 Mei 2026: Semangat kerja berpasukan yang diterapkan pihak universiti terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan warga kampus.
Sejajar dengan hasrat tersebut, INASIS MISC telah menganjurkan Program Riadah Kayak INASIS MISC 2026 yang menghimpunkan pelajar serta warga pengurusan INASIS dalam usaha mengeratkan hubungan dan memperkukuh jaringan kerjasama antara Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) bersama pihak pengurusan.

Program tersebut turut menampilkan jemputan khas, Encik Ahmad Pauzi Othman dari Pusat Sukan Universiti yang menyampaikan Taklimat Asas Penggunaan dan Keselamatan Riadah Kayak kepada peserta sebelum aktiviti dijalankan.
Menurut Pengetua INASIS MISC, Siti Norlia Mazlan, program riadah seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada staf pengurusan dan pelajar mengenai aktiviti air yang terdapat di universiti, malah turut memberi manfaat dari aspek kesihatan serta menggalakkan gaya hidup aktif.
Beliau berkata, kerjasama erat antara pelbagai pihak berkaitan amat penting dalam memastikan setiap matlamat dan perancangan dapat dilaksanakan dengan baik serta berjalan lancar seperti yang dirancang.
INASIS MISC bersama pihak universiti sentiasa komited memastikan aspirasi universiti untuk menjadi universiti pengurusan terkemuka menerusi slogan “To Be An Eminent Management University” dapat direalisasikan.



