Program: Career development: from graduate to professional
Gambar: Media SULAM ToT, SBM
SINTOK, 19 Mei 2026 – Seramai 43 orang pelajar yang mengikuti kursus BPMHK3133 Management Training for Trainers di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menyertai bengkel bertajuk “Career Development: From Graduate to Professional” yang berlangsung di Bilik Kedah, SBM.
Program ini merupakan sebahagian daripada program SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) bagi program Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia yang menggabungkan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal berasaskan komuniti.

Program ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus BPMHK3133 Management Training for Trainers di bawah seliaan Dr. Siti Noorjannah Binti Abd Halim dan Dr. Nor Farah Hanis Binti Zainun. Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai persediaan awal sebelum memasuki alam pekerjaan secara profesional.
Selain itu, program ini turut meningkatkan pengetahuan pelajar berkaitan kemahiran insaniah, etika kerja, dan sikap profesional yang diperlukan dalam industri masa kini. Program ini juga membantu pelajar memahami aspek pembangunan profesional seperti komunikasi berkesan di tempat kerja, etika dalam penulisan dan interaksi profesional, pembinaan imej diri, serta amalan tingkah laku profesional dalam persekitaran fizikal dan digital.

Program ini menampilkan slot utama berbentuk perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Tan Fee Yean. Dalam sesi tersebut, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penting berkaitan pembangunan kerjaya dan profesionalisme di tempat kerja.
Antara pengisian yang disampaikan termasuk etika profesional, pembinaan imej diri, komunikasi lisan profesional, serta etika penulisan e-mel, mesej, dan surat rasmi yang profesional. Selain itu, peserta turut diberi penerangan mengenai tingkah laku dalam talian yang sesuai bagi membentuk imej profesional dalam era digital.

Dari segi impak, program ini berjaya memberi manfaat kepada para peserta dalam meningkatkan keyakinan diri serta kebolehpasaran graduan. Para pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan kehendak industri, di samping memahami kepentingan profesionalisme dalam dunia pekerjaan. Program ini juga membantu menghubungkan pembelajaran akademik dengan situasi sebenar di alam pekerjaan.
Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan pembelajaran berasaskan pembangunan kemahiran profesional, serta SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi dengan meningkatkan kesiapsiagaan dan kebolehpasaran graduan.

Dr. Edora Binti Ismail, selaku Pengerusi Program Pengurusan Sumber Manusia, turut menyatakan bahawa program ini memberi impak yang sangat positif kepada pelajar, khususnya dalam memperkukuh kemahiran profesional yang diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini. Program seperti ini sangat bermanfaat dalam membantu pelajar mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.
Pendedahan awal terhadap aspek profesionalisme dan pembangunan kerjaya diyakini mampu melahirkan graduan yang lebih kompeten, berkeyakinan, dan bersedia menghadapi cabaran industri. Beliau berharap agar lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa akan datang bagi membantu melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.
Secara keseluruhannya, program “Career Development: From Graduate to Professional” berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan serta memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para peserta dalam mempersiapkan diri ke arah alam pekerjaan profesional. – Nina Nurqistina Asha Binti Jahidee / Nabiha Huda Binti Kamal



