Aplikasi DGTalFin bantu PKS Kubang Pasu urus kewangan di hujung jari, e-Desa jadi bonus pasaran digital
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Idawati Ibrahim
KUBANG PASU, 23 Mei 2026 – Fasa akhir Projek Pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kubang Pasu melabuhkan tirainya dengan jayanya menerusi penganjuran Bengkel Praktikal DGTalFin beserta Majlis Penutup yang berlangsung hari ini.
Program yang dibiayai di bawah Geran Inovasi Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) ini bertujuan untuk melonjakkan keupayaan pengurusan kewangan digital dalam kalangan peniaga tempatan bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.
Bengkel kali ini merupakan kesinambungan daripada siri latihan terdahulu yang mana para peserta sebelum ini telah didedahkan dengan asas pengekosan, analisis Kos-Volume-Untung (KVU), penyediaan buku tunai dan penyata kewangan.
Memasuki fasa praktikal ini, peserta diperkenalkan dengan aplikasi DGTalFin, sebuah sistem berasaskan web yang boleh diakses dengan mudah secara terus melalui telefon bimbit. Aplikasi ini direka khas bagi memudahkan usahawan daripada pelbagai latar belakang perniagaan.

Melalui aplikasi DGTalFin ini, para peserta kini lebih mudah untuk merekodkan urus niaga harian, menyimpan rekod dengan selamat dan menghasilkan penyata kewangan yang lengkap bagi tempoh tertentu apabila diperlukan. Dokumen kewangan yang teratur ini sangat penting sama ada untuk kegunaan pengurusan perniagaan sendiri, memenuhi syarat permohonan pinjaman mahupun urusan percukaian dengan pihak berkuasa.
Aplikasi ini turut memberikan kelebihan kepada peserta untuk menjejaki setiap transaksi, mengetahui baki tunai semasa serta memantau baki penghutang dan pemiutang hanya di hujung jari. Peserta turut memberikan maklum balas yang amat positif terhadap aplikasi DGTalFin ini. Pembangunan aplikasi tersebut diketuai oleh Encik Suhizaz bin Sudin dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang juga merupakan ahli strategik bagi projek ini.

Sebagai nilai tambah, peserta turut didedahkan dengan aplikasi e-Desa, sebuah platform e-dagang yang lebih mudah dan murah berbanding platform lain seperti Shopee atau TikTok.
Bagi memastikan impak maksimum, bengkel dikendalikan sepenuhnya oleh barisan penyelidik iaitu Prof. Madya Dr. Idawati Ibrahim selaku Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, Prof. Madya Dr. Saliza Abdul Aziz dan Encik Suhizaz Sudin bagi memantapkan pemahaman peserta.

Majlis penutup yang diadakan pada penghujung bengkel turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Masjid, Ustaz Zamri bin Abdul Razak. Dalam ucapannya, Ustaz Zamri mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang berjaya menunjukkan komitmen tinggi sepanjang menghadiri program julung kali diadakan hasil kerjasama erat dengan para pensyarah dari Universiti Utara Malaysia.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli projek di bawah Geran Inovasi Sosial UUM ini atas sumbangan ilmu yang amat bermakna kepada komuniti setempat.
Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Idawati Ibrahim turut menyampaikan ucapan balas bagi menzahirkan rasa penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan masjid dan kesemua peserta bengkel yang memberikan komitmen luar biasa.



