Campus

Pengurusan TVET UUM dan Persatuan Pekerja Kemahiran Malaysia Jalinkan Inisiatif Pembiayaan SKM bersama BSN

Berita dan gambar oleh: Dr Wahida Yaakub

KUALA LUMPUR, 14 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pengurusan TVET UUM telah mengadakan satu sesi perbincangan strategik bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Persatuan Pekerja Kemahiran Malaysia di Wisma BSN bagi membincangkan potensi kerjasama berkaitan pembiayaan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta pembangunan agenda TVET negara.

Delegasi Pengurusan TVET UUM diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Hj. Ahmad bersama dua Timbalan Pengarah iaitu Dr. Norwahida Yaakub dan En. Kamal Khalid.

Turut hadir wakil Persatuan Pekerja Kemahiran Malaysia yang diketuai oleh En. Zubair Saad selaku Setiausaha bersama Ahli Jawatankuasa, Puan Hasliza Hassan dan Encik Wan Mohd Ridhwan.

Delegasi telah disambut oleh wakil pengurusan BSN terdiri daripada Puan Norainah Mohmad Zakuan, Ketua Jabatan Perbankan Runcit; Mohd Lutfi Arif Sukaiman, Timbalan Presiden Bahagian Sokongan Perniagaan, En. Amri Ahmad, Ketua Seksyen Pembiayaan Peribadi, serta Cik Hatty Nabyla, Pengurus Bahagian Pengurusan Jualan.

Perbincangan memberi fokus kepada cadangan kerjasama strategik melibatkan skim pembiayaan pendidikan bagi peserta SKM Tahap Tiga, Tahap Empat dan Tahap Lima khususnya dalam kalangan pekerja kemahiran yang memerlukan sokongan kewangan bagi melanjutkan pensijilan profesional serta meningkatkan tahap kompetensi melalui akses pembiayaan pendidikan yang lebih sistematik dan mesra peserta.

Pekara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan projek perintis pembiayaan melibatkan kumpulan awal peserta sebelum diperluaskan kepada lebih ramai peserta melalui jaringan Persatuan Pekerja Kemahiran Malaysia di seluruh negara.

Selain itu, BSN turut menyatakan komitmen untuk membangunkan pakej pembiayaan khas yang lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keperluan peserta TVET termasuk tempoh pembayaran yang lebih praktikal serta kadar pembiayaan pendidikan yang kompetitif.

Kerjasama ini juga dijangka menjadi platform strategik dalam membantu lebih ramai pekerja mendapatkan pensijilan kemahiran secara tersusun dan inklusif.

Sesi perbincangan turut menyentuh cadangan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara BSN dan Persatuan Pekerja Kemahiran Malaysia dengan Pengurusan TVET UUM bertindak sebagai saksi strategik kepada kerjasama tersebut.

Inisiatif ini dijangka membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan bakat, promosi TVET, pembiayaan pendidikan dan kolaborasi industri secara lebih menyeluruh pada masa hadapan.

Melalui kerjasama strategik ini, semua pihak berharap agar lebih ramai pekerja kemahiran berpeluang melanjutkan pengajian dan meningkatkan kelayakan profesional mereka tanpa dibatasi faktor kewangan.

Usaha ini juga selari dengan aspirasi memperkukuh agenda TVET negara melalui sinergi antara institusi pendidikan, sektor kewangan dan industri demi melahirkan tenaga kerja mahir yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button