SAPSP UUM promosi program pascasiswazah di IPK Kelantan
Berita dan gambar oleh: Khairul Anuar Ahmad
KOTA BAHRU, 8 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) telah mengadakan sesi promosi program pascasiswazah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi memperkenalkan peluang melanjutkan pengajian kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan laluan pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang ditawarkan oleh UUM, di samping menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan penjawat awam khususnya warga PDRM.

Antara program yang dipromosikan ialah Sarjana Kerja Sosial, Sarjana Sains Kaunseling, Sarjana Sains (Sains Koreksional), Sarjana Secara Penyelidikan serta Doktor Falsafah (PhD).
Program-program ini direka bentuk bagi memenuhi keperluan pembangunan profesional, peningkatan kompetensi serta perkembangan kerjaya dalam pelbagai bidang berkaitan.
Sepanjang sesi tersebut, peserta turut diberikan penerangan menyeluruh mengenai syarat kemasukan, struktur pengajian, peluang penyelidikan serta prospek kerjaya yang boleh diterokai melalui pengajian pascasiswazah di UUM.

Program ini diketuai oleh Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad bersama dengan Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Zakiyah Jamaluddin dan Pengerusi Program Siswazah, Dr. Norazlina Zakaria.
Menurut Dekan SAPSP, pengajian pascasiswazah bukan sahaja meningkatkan kelayakan akademik, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan profesionalisme, kepimpinan dan kecemerlangan kerjaya dalam pelbagai sektor.
Beliau turut menegaskan bahawa UUM sentiasa komited menyediakan peluang pembelajaran yang fleksibel dan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan kerjaya golongan profesional, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berilmu, berintegriti dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

Program ini turut menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara UUM dan PDRM, khususnya dalam usaha melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi, berkemahiran dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan semasa negara.
UUM berharap inisiatif seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan lanjutan serta menggalakkan lebih ramai warga PDRM untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi demi pembangunan kerjaya, organisasi dan negara.



