Campus

SBM dan JPPI anjur program ecogrowth, semai kesedaran kelestarian kampus

Gambar oleh: Muhamad Arief Fitri bin Shafie

SINTOK, 9 Jun 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) telah menganjurkan Program EcoGrowth: SBM X JPPI yang berlangsung di kawasan Meadow Barat DMAS, hari ini.

Program yang menghimpunkan pelajar dan staf SBM dan JPPI ini merupakan sebahagian daripada inisiatif universiti dalam memperkukuh agenda kelestarian kampus menerusi aktiviti penghijauan, pemuliharaan alam sekitar dan penglibatan komuniti kampus secara aktif.

Majlis dimulakan dengan sesi perasmian ringkas sebelum peserta mengambil bahagian dalam aktiviti senamrobik dan regangan bagi meningkatkan kecergasan serta menyemarakkan semangat kebersamaan.

Turut diadakan beberapa aktiviti interaktif yang melibatkan warga kerja daripada pelbagai jabatan dan pusat tanggungjawab di UUM.

Kemuncak program adalah aktiviti penanaman pokok di sekitar kawasan Meadow Barat DMAS yang bertujuan menambah kawasan hijau kampus serta menyokong usaha universiti dalam mengurangkan jejak karbon dan memelihara keseimbangan ekosistem.

Pengarah program, Sdr.  Ammar Muhaimin Mokhtar, pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (Dengan Kepujian), SBM berkata program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah berjaya memupuk kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam kalangan warga universiti terhadap kepentingan amalan lestari.

“Program seperti ini menjadi platform terbaik untuk memperkukuh budaya kelestarian di kampus di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga SBM, JPPI dan komuniti universiti secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut serta berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong aspirasi UUM sebagai kampus yang lestari dan mesra alam.

Program EcoGrowth: SBM X JPPI berakhir dengan sesi bergambar dan aktiviti penanaman pokok secara simbolik yang menyaksikan penyertaan memberangsangkan daripada warga universiti. – Azam Arni Mohd Noor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button