Education

IBS rangka kerjasama lebih erat dengan Tashkent International University of Financial Management and Technology (TIFT)

Berita dan gambar oleh: Dr. Amirul Faiz Osman

SINTOK, 22 Mei 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melebarkan sayap di persada antarabangsa dengan merangka kerjasama strategik yang lebih erat bersama Tashkent International University of Financial Management and Technology (TIFT), Uzbekistan.

Inisiatif jalinan kerjasama ini mula digarap susulan kejayaan Program Pensyarah Pelawat yang dilaksanakan oleh pensyarah kanan IBS di TIFT baru-baru ini.

Rentetan daripada program tersebut, satu sesi perbincangan rasmi secara dalam talian telah diadakan bagi membincangkan potensi kerjasama antara kedua-dua institusi.

Pertemuan maya yang membuahkan hasil positif itu dihadiri oleh Rektor TIFT, Azizkhon Nodirov; Timbalan Rektor Akademik, Prof. Madya Botirjon Rakhmatullaev; Ketua Program Sarjana Muda, Prof. Madya Jasur Nosirov; Pegawai Hubungan Antarabangsa, Asadullah Abdulmanov; Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor; Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa dan Kerjasama (CIAC), Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk; serta barisan pengurusan IBS.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua institusi mencapai kata sepakat untuk memperkukuh sinergi kerjasama secara holistik, khususnya dalam bidang akademik dan latihan profesional.

Bagi memastikan objektif tersebut tercapai, beberapa cadangan kerjasama berimpak tinggi telah dikemukakan dan dipersetujui untuk diperhalusi, antaranya:

  1. Program Dwiijazah (2+2) – Penawaran program ijazah sarjana muda secara bersama antara IBS UUM dan Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perakaunan TIFT.
  2. Program Kerjasama Pascasiswazah (1+1) – Kolaborasi di peringkat sarjana yang melibatkan Program Sarjana Kewangan Islam UUM dan Program Sarjana Kewangan TIFT.
  3. Penganjuran Kursus Latihan Jangka Pendek – Penawaran Sijil Profesional Kewangan dan Perbankan Islam yang disasarkan khusus untuk meningkatkan kepakaran ahli akademik serta pekerja sektor perbankan di Uzbekistan.

Pihak pengurusan IBS dan CIAC menaruh harapan tinggi agar segala usaha dan perancangan yang dirangka dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Langkah proaktif ini diyakini mampu memperkukuh jaringan antarabangsa UUM, memperluas pengaruh pendidikan kewangan Islam di rantau Asia Tengah, serta melonjakkan lagi jenama universiti di persada global.

Kerjasama strategik ini juga selaras dengan aspirasi UUM untuk terus memperkasa kecemerlangan akademik, memperluas mobiliti antarabangsa dan mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti pengurusan terkemuka di peringkat antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button