Campus

Tiada yang dilupakan: Kelab Patriot Kedah bawa sinar aidiladha kepada yang memerlukan

Berita dan gambar oleh: Nurul Aisya Syaqila Mazlan

SINTOK: 6 Jun 2026: Sambutan Aidiladha tahun ini membawa seribu satu makna apabila ia menyinari kehidupan mahasiswa yang memerlukan, khususnya anak-anak Negeri Kedah, golongan orang kurang upaya (OKU) serta anak-anak yatim.

Bertepatan dengan semangat pengorbanan dan keprihatinan yang menjadi teras Aidiladha, Kelab Patriot Chapter Kedah (MAKDA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Semarak Kasih Aidiladha di Dewan Pusat Islam UUM.

Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi rezeki, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai nilai kasih sayang, keikhlasan dan kebersamaan dalam kalangan peserta.

Melalui penganjuran program ini, pihak penganjur berharap agar tiada mahasiswa yang tercicir daripada merasai kemeriahan dan keberkatan Aidiladha.

Program ini telah disertai seramai 91 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UUM yang memerlukan lebih-lebih lagi dari negeri Kedah, golongan orang kurang upaya, anak-anak yatim serta ahli jawatankuasa program.

Selain menikmati jamuan Aidiladha bersama-sama, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan kepada 30 orang penerima pada hari program berlangsung. Sebagai usaha meneruskan semangat pengorbanan Aidiladha, agihan daging korban turut disampaikan kepada dua orang mahasiswa yang memerlukan pada hari raya kedua bagi membantu meringankan beban mereka serta membolehkan mereka turut merasai kemeriahan sambutan Aidiladha.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Pegawai Kewangan Negeri Kedah merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa.

Dalam ucapan Dr. Nadzman, beliau menekankan kepentingan penguasaan kemahiran insaniah atau soft skills dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia sebenar.

Beliau turut berpesan agar kebajikan mahasiswa anak Kedah yang menuntut di Universiti Utara Malaysia sentiasa diberi perhatian dan dipelihara dengan sebaiknya, selaras dengan matlamat penganjuran program ini.

Selain itu, beliau turut menyatakan harapan agar Kelab Patriot Chapter Kedah dapat memainkan peranan sebagai medium penghubung antara mahasiswa anak Kedah di Universiti Utara Malaysia dengan Kerajaan Negeri Kedah demi manfaat bersama pada masa hadapan.

Menurut salah seorang penerima sumbangan, bantuan yang diterima amat bermakna dan sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan mahasiswa serta berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, jawatankuasa pelaksana telah berusaha mendapatkan pelbagai bentuk tajaan dan sumbangan daripada pihak luar. Sokongan yang diberikan oleh MyCARE, LUKA STORE, THB Maintenance, PERMAI serta sumbangan daripada orang ramai telah membolehkan program yang bernilai hampir RM4,000 ini direalisasikan dengan lancar.

Kerjasama erat antara pihak penaja, universiti dan mahasiswa membuktikan bahawa semangat kebersamaan mampu membawa impak yang besar dalam membantu golongan yang memerlukan.

Secara keseluruhannya, Program Semarak Kasih Aidiladha 2026 telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dalam menyantuni mahasiswa, golongan OKU dan anak-anak yatim di samping menyemai nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa.

Program ini membuktikan bahawa semangat pengorbanan dan kebersamaan yang dibawa oleh Aidiladha mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih penyayang, bersatu dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Turut hadir memeriahkan program ialah Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia, Dr. Mazli Mutazam, Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia, serta Nor Afiq Abd Razak selaku Penasihat Kelab Patriot Chapter Kedah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button