Education

Bahasa ketiga jadi nilai tambah graduan hadapi pasaran kerja

Gambar oleh: Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 14 Jun 2026: Mahasiswa disaran melengkapkan diri dengan penguasaan bahasa ketiga selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, termasuk bahasa Mandarin, Tamil, Korea serta bahasa asing lain sebagai nilai tambah yang mampu meningkatkan kebolehpasaran dan membezakan mereka daripada graduan lain dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata penguasaan bahasa ketiga kini menjadi antara kelebihan kompetitif yang semakin mendapat perhatian majikan kerana mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam Program Graduate Employability: Reality vs Expectation anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), Universiti Utara Malaysia (UUM), yang berlangsung di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM, hari ini.

Menurut beliau, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menjamin peluang pekerjaan memandangkan semakin ramai graduan memiliki pencapaian akademik yang cemerlang. Justeru, mahasiswa perlu mengenal pasti keunikan dan kekuatan diri yang dapat membezakan mereka daripada calon lain.

“Penguasaan tiga bahasa memberikan kelebihan kepada pelajar dalam meningkatkan kebolehpasaran dan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan. Kemahiran berbahasa yang baik bukan sahaja memudahkan komunikasi dalam organisasi, malah membantu graduan menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja yang pelbagai serta meningkatkan keyakinan untuk berinteraksi dengan pelanggan dan rakan strategik daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Selain penguasaan bahasa, Mohammad Shatar turut mengingatkan mahasiswa agar sentiasa bersedia menghadapi persaingan yang semakin sengit, termasuk daripada graduan luar negara dan tenaga kerja antarabangsa yang turut memasuki pasaran kerja Malaysia.

Menurutnya, mahasiswa perlu membangunkan kemahiran insaniah, profesionalisme serta keupayaan berfikir secara kritis bagi memastikan mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Beliau turut menegaskan bahawa kemahiran komunikasi merupakan antara aspek paling penting kerana seseorang graduan bukan sahaja mewakili dirinya sendiri, malah turut membawa imej institusi dan organisasi yang diwakilinya. Oleh itu, setiap tindakan, percakapan dan tingkah laku perlu mencerminkan keperibadian yang profesional.

Pada masa sama, beliau menasihati mahasiswa agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab. Katanya, mahasiswa tidak seharusnya menjadikan media sosial sebagai platform untuk meluahkan masalah peribadi atau ketidakpuasan hati secara terbuka.

“Sebaliknya, medium tersebut perlu dimanfaatkan untuk membina jaringan profesional, berkongsi ilmu, memperluas peluang kerjaya serta mengetengahkan pencapaian dan potensi diri,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, dalam ucapan aluannya berkata program akademik yang ditawarkan UUM merupakan antara yang terbaik di Malaysia dan sentiasa diperkasakan bagi memenuhi keperluan semasa industri.

Menurut beliau, UUM sentiasa memastikan kurikulum dan program pengajiannya kekal relevan dengan kehendak industri melalui kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat dan organisasi profesional.

Beliau berkata, universiti turut memberi penekanan kepada pembangunan kebolehpasaran graduan menerusi integrasi pensijilan profesional dalam beberapa program pengajian bagi memberikan nilai tambah kepada pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan.

“Sebagai contoh, program Perakaunan menyediakan laluan ke arah pensijilan profesional seperti CPA dan ACCA, manakala program Logistik dan Pengangkutan di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) menawarkan pensijilan Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT).

“UUM juga menyediakan Pensijilan Occupational Safety and Health Coordinator (OSH-C) menerusi program jangka pendek yang dikendalikan oleh Pusat Pengajian Perniagaan (SBM) bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memenuhi keperluan industri semasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa UUM sentiasa memperkukuh usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran profesional, kepimpinan dan komunikasi yang diperlukan oleh majikan.

Sehubungan itu, beliau menggesa mahasiswa agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan universiti melalui program pembangunan kerjaya, jaringan industri, latihan industri, aktiviti kesukarelawanan, program kepimpinan serta penglibatan dalam kokurikulum yang mampu menjadi nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan.

Program tersebut memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai realiti sebenar dunia pekerjaan, jangkaan majikan terhadap graduan serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button