Education

TISSA-UUM lonjak budaya penyelidikan: 19 manuskrip dihasilkan dalam bengkel intensif

Gambar oleh: Muhammad Muadz Madzlan

GURUN, 9 – 11 Jun 2026: Dalam usaha memperkukuh kecemerlangan akademik dan meningkatkan bilangan penerbitan berimpak tinggi, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Penulisan Artikel Berimpak Tinggi bertempat di The Jerai Hill Resort, Kedah.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Jun 2026 ini bukan sekadar bengkel penulisan biasa, malah menjadi platform strategik buat 19 orang pensyarah TISSA-UUM yang hadir untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja-kerja penulisan, pemurnian, dan penghantaran manuskrip ke jurnal berprestij.

Para peserta dibimbing secara intensif oleh pakar penerbitan, Prof. Madya Dr. Aidi Ahmi. Melalui pendekatan hands-on, beliau berkongsi panduan strategik merangkumi teknik penulisan akademik yang berkesan, pemilihan jurnal yang tepat, serta strategi penghantaran manuskrip untuk memastikan artikel memenuhi piawaian penerbitan antarabangsa.

Hasilnya, bengkel ini mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya menghasilkan 19 manuskrip lengkap yang telah dirangka, disiapkan, dan dihantar untuk pertimbangan penerbitan. Sebanyak 10 manuskrip berjaya dihantar untuk pertimbangan penerbitan dalam tempoh tiga hari program dan selebihnya dalam tempoh seminggu yang diberikan selepas program.

Kejayaan ini didorong oleh semangat kental para peserta yang disatukan di bawah tagline #submitbiarjadi. Tagline ini menjadi simbol komitmen warga TISSA-UUM untuk bukan sekadar menulis, tetapi memastikan setiap penyelidikan yang dijalankan sampai ke tahap penghantaran bagi diterbitkan.

Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali, menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut. Menurut beliau, program ini telah mencapai hasrat utamanya dalam menyediakan sokongan berstruktur dan persekitaran yang kondusif bagi pensyarah menghasilkan output penerbitan yang konkrit.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa gabungan bimbingan pakar dan komitmen tinggi pensyarah mampu memperkukuh budaya penerbitan akademik di TISSA-UUM, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) penerbitan Universiti Utara Malaysia,” jelas beliau.

Diharapkan penganjuran bengkel anjuran Jawatankuasa Penerbitan TISSA-UUM ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak penerbitan berkualiti tinggi pada masa hadapan, seterusnya mengukuhkan kedudukan TISSA-UUM sebagai pusat pengajian yang unggul dalam penyelidikan dan penerbitan. – Prof. Madya Dr. Zaimah Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button