Bukan sekadar Profesor Adjung: Dato’ Seri Yusuf Taiyoob terus komited menyokong agenda UUM
Berita dan gambar oleh: M. Khairy Mukhtaruddin
GEORGETOWN, 15 Jun 2026: Dekan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Dato’ Seri Yusuf Taiyoob yang juga Profesor Adjung Program Perniagaan Tani, SEFB.
Pertemuan tersebut merupakan kunjungan rasmi pertama beliau selepas dilantik sebagai Dekan SEFB dan bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara SEFB dan Dato’ Seri Yusuf Taiyoob yang sekian lama menyokong pelbagai agenda universiti.

Dalam sesi pertemuan itu, pihak SEFB telah membentangkan pencapaian serta program yang disokong oleh Dato’ Seri yang mana telahpun berjaya dilaksanakan, di samping menggariskan enam agenda kerjasama utama bagi tempoh tiga tahun akan datang. Antaranya ialah Anugerah Kecemerlangan Akademik sempena Majlis Konvokesyen UUM, dermasiswa kepada pelajar B40, geran penyelidikan, tajaan program mobiliti pelajar, serta sumbangan tahunan kepada warga UUM dan komuniti setempat sempena bulan Ramadan.
Menurut Dr. Rasidah, sokongan berterusan Dato’ Seri Yusuf Taiyoob membuktikan bahawa peranan Profesor Adjung bukan sahaja tertumpu kepada bidang akademik, malah turut menjadi rakan strategik universiti dalam pembangunan pelajar dan komuniti.

Sementara itu, Dato’ Seri Yusuf Taiyoob menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh SEFB dan menyatakan komitmen beliau untuk terus menyokong usaha universiti dalam memperkasa pembangunan akademik, penyelidikan serta kebajikan pelajar. Beliau percaya kerjasama erat antara universiti dan industri mampu melahirkan graduan yang lebih kompeten, di samping memberi impak positif kepada pembangunan komuniti dan negara secara keseluruhannya.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Dr. Diara Md. Jadi, Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa dan Dr. Nur Adeelah Che Ahmad Tantowi, Pengurusi Program Pengurusan Perniagaan Tani, SEFB.



