Education

UUM perkasa literasi undang-Uudang melalui CEO@Faculty dan pelancaran program JUST

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 18 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus komited memperkasa literasi undang-undang serta melahirkan graduan yang berintegriti menerusi program CEO@Faculty yang menjadi platform perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh profesional bersama warga universiti.

Timbalan Naib Canselor (Pendidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad, yang mewakili Naib Canselor UUM, berkata kehadiran Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, bukan sekadar sebagai penceramah jemputan tetapi mencerminkan komitmen seorang pemimpin untuk berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada mahasiswa.

Menurut Prof. Dr. Ram, program berkenaan selari dengan falsafah UUM, Ilmu, Budi dan Bakti yang bermatlamat melahirkan graduan cemerlang dari aspek akademik, memiliki sahsiah, integriti dan semangat berbakti kepada masyarakat.

Menurutnya, ilmu yang diperoleh di universiti perlu diperkukuh melalui pendedahan kepada pengalaman dunia sebenar, khususnya dalam bidang perundangan, bagi melahirkan bakal pengamal undang-undang yang beretika dan berwibawa.

“Ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk kecemerlangan akademik, tetapi perlu membentuk karakter, akhlak dan adab, di samping dimanfaatkan demi kepentingan masyarakat,” katanya.

Jelas beliau, Jabatan Peguam Negara (AGC) memainkan peranan penting sebagai penasihat undang-undang dan benteng perundangan negara dalam memastikan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan.

Pada majlis sama, UUM turut melancarkan Program Perdana Jaringan Undang-Undang Sosio Transformasi (JUST) sebagai inisiatif memperkukuh jaringan komuniti serta meningkatkan kesedaran dan literasi undang-undang dalam kalangan masyarakat.

Beliau berharap program seumpama itu dapat memperluaskan pemikiran mahasiswa terhadap aspek kepimpinan, profesionalisme dan integriti sebagai persediaan menghadapi cabaran dunia pekerjaan. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button