AGC terajui reformasi institusi dan undang-undang supaya kekal moden dan relevan
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 18 Jun 2026: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang merangka dan melaksanakan reformasi institusi dan undang-undang bagi mewujudkan sistem keadilan Malaysia yang moden, responsif dan selari dengan keperluan semasa.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, kedaulatan undang-undang bukanlah satu konsep yang statik tetapi merupakan kerangka hidup yang perlu sentiasa berkembang sesuai dengan perubahan masyarakat.

Jelas beliau, reformasi institusi bukan hanya agenda pentadbiran tetapi merupakan keperluan penting bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus diperkukuh dalam landskap masyarakat yang semakin kompleks.
“Reformasi institusi adalah enjin yang memastikan kerangka ini terus moden, tersusun dan anjal sekali gus menjamin neraca keadilan kekal seimbang dalam dunia yang semakin moden.
Antara reformasi institusi paling penting yang sedang dilaksanakan ialah pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” jelas beliau dalam Syarahan Perdana CEO@Faculty bertajuk ‘Strengthening the Rule of Law Through Institutional Reform: Malaysia’s Roadmap for a Modern Justice System’ di Kompleks Konvensyen Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.

Katanya lagi, langkah itu bertujuan mewujudkan fungsi Pendakwa Raya yang benar-benar bebas dan terpisah daripada peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan.
Pemisahan tersebut merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh kebebasan pendakwaan dan meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara kerana ia memperkukuh prinsip pengasingan kuasa dan memberi keyakinan bahawa keputusan pendakwaan dibuat secara bebas serta berasaskan pertimbangan undang-undang.
Menurut Peguam Negara lagi, hala tuju Malaysia ke arah sistem keadilan moden turut dapat dilihat melalui beberapa inisiatif perundangan penting, khususnya usaha memodenkan asas perundangan lama negara.

Antaranya, AGC sedang melaksanakan Kajian Reformasi Undang-Undang Pra-1969 bagi mengenal pasti undang-undang lama yang perlu dipinda, dikemas kini atau dimansuhkan supaya kekal relevan dengan keperluan semasa.
Usaha itu merangkumi semakan dan reformasi undang-undang Malaysia secara sistematik, penyelarasan undang-undang dengan perkembangan semasa serta penyesuaian perundangan dengan keperluan masyarakat moden.
AGC turut menyumbang kepada penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] sebagai sebahagian daripada agenda reformasi institusi berkaitan perkhidmatan Parlimen yang memberi kuasa untuk mengurus hal ehwal perjawatan, kewangan dan pentadbirannya secara bebas, termasuk melalui pembentukan kerangka tadbir urus dan pentadbiran yang lebih kukuh bagi menyokong fungsi Parlimen.

Selain itu, AGC turut memajukan reformasi bagi memperkukuh akses kepada keadilan untuk semua, khususnya melalui penggubalan dan penguatkuasaan Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 [Akta 878].
Undang-undang baharu itu akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan guaman, khususnya bagi masyarakat luar bandar dan individu yang kurang mengetahui hak undang-undang mereka.
Akta tersebut turut memperkenalkan mekanisme yang membolehkan orang ramai mendapatkan nasihat guaman secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat bantuan guaman.
Reformasi utama lain yang diberi perhatian adalah Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat, yang telah dipersetujui secara prinsip oleh Jemaah Menteri bagi memperluas akses awam kepada maklumat yang dipegang oleh kerajaan selaras dengan prinsip ketelusan.

Beliau berkata, AGC memainkan peranan penting dalam memastikan kerangka undang-undang yang dicadangkan itu selaras dengan undang-undang sedia ada, di samping mengimbangi keperluan ketelusan dengan perlindungan kerahsiaan serta data peribadi.
Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia turut dilihat sebagai reformasi institusi penting bagi memperkukuh tadbir urus dan menangani salah tadbir melalui mekanisme bebas, telus dan bertanggungjawab.
Pada tahun 2025, AGC berjaya menyelesaikan sebanyak 3,055 kes rayuan jenayah, manakala pada suku pertama 2026 sahaja, sebanyak 965 kes rayuan jenayah telah diselesaikan yang mencerminkan kapasiti, disiplin dan dedikasi pegawai AGC dalam membantu pelupusan rayuan jenayah secara lebih cekap di mahkamah atasan.
Selain reformasi domestik, AGC turut memainkan peranan penting dalam hubungan undang-undang antarabangsa dengan memastikan perkembangan perundangan negara selaras dengan standard global dan obligasi perjanjian antarabangsa.

Antaranya, menyelaras penyertaan Malaysia dalam platform antarabangsa dan serantau seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN dan Komanwel, selain membantu merumuskan serta membentangkan pendirian undang-undang Malaysia.
Semua inisiatif tersebut mencerminkan usaha sistematik, bersepadu dan berterusan untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang melalui reformasi undang-undang dan institusi yang praktikal serta bersasar.
Menurutnya, AGC berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang mesti sentiasa berkembang untuk mencerminkan dan menjawab keperluan masyarakat yang berubah, selain menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi yang pesat serta arus globalisasi



