Campus

UBA pacu transformasi PdP melalui bengkel teknik ujian membaca nenggunakan AI

Gambar oleh UBA

SINTOK, 9 Jun 2026: Unit Bahasa Antarabangsa (UBA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) terus memperkukuh komitmennya dalam agenda transformasi digital pendidikan dengan penganjuran bengkel inovatif, “Teknik Ujian Membaca: Penilaian Melalui Reading Progress (Teams)”.

Program yang berlangsung di Bilik BTA35, SMMTC ini disasarkan khusus buat para tenaga pengajar Bahasa Antarabangsa, bertujuan untuk memperkasakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui integrasi Kecerdasan Buatan (AI) bagi meningkatkan kemahiran membaca pelajar secara digital, mudah, dan berkesan.

Bengkel dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Bahasa Antarabangsa (UBA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), UUM dengan pendekatan perkongsian pengalaman (sharing experience), dan latihan amali (hands-on). Sesi intensif bermula jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang ini, dipimpin oleh dua fasilitator yang juga merupakan tenaga pengajar bahasa di universiti tersebut, iaitu En. Nasrol Hadi Ahmad Shukeri (Tenaga Pengajar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing) dan En. Mohd Farid Md. Yusoff (Tenaga Pengajar Bahasa Perancis).

Menerusi gabungan kepakaran rentas bahasa ini, para peserta didedahkan dengan tiga pengisian utama: penyediaan tugasan digital, sistem rubrik kontemporari, serta pengalaman hands-on secara langsung.

Melalui kaedah sharing experience, kedua-dua fasilitator berkongsi cabaran, dan kejayaan mereka sepanjang mengintegrasikan alatan digital dalam bilik darjah masing-masing. Pendekatan ini kemudiannya disusuli dengan sesi hands-on secara langsung, apabila para peserta tidak sekadar mendengar, malah terus mengakses peranti untuk mempraktikkan tiga pengisian utama: penyediaan tugasan digital, sistem rubrik kontemporari, serta merasai sendiri pengalaman menduduki ujian tersebut daripada perspektif pelajar.

Sementara itu, Pengarah Bengkel, Cik Masni Mansor, turut menzahirkan rasa bangga dan menyifatkan bengkel ini sebagai satu anjakan paradigma yang sangat positif bagi warga pendidik. Menurut beliau, maklum balas langsung dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para peserta sepanjang sesi amali membuktikan bahawa tenaga pengajar sangat bersedia untuk menerima perubahan teknologi demi kebaikan pelajar. Refleksi daripada penganjuran ini memberi keyakinan bahawa integrasi alatan digital mampu merapatkan jurang pembelajaran dan meningkatkan kualiti penyampaian akademik di peringkat yang lebih tinggi.

Menurut En. Nasrol Hadi Ahmad Shukeri, pemerkasaan teknologi digital dalam aspek asas seperti kemahiran membaca adalah keperluan kritikal masa kini, terutamanya dalam konteks pengajaran bahasa asing. “AI bukan lagi sekadar pilihan alternatif, sebaliknya instrumen penting yang dapat membantu para tenaga pengajar Bahasa Antarabangsa mengesan kelancaran, sebutan, dan kelemahan spesifik pelajar secara automatik dan lebih objektif. Refleksi daripada bengkel ini menunjukkan bahawa tenaga pengajar kini mampu merangka intervensi awal yang lebih bersasar bagi setiap pelajar,” jelas beliau.

Dalam sesi latihan amali, En. Mohd Farid Md. Yusoff telah membimbing para peserta secara langkah demi langkah (step-by-step) mengenai pengoperasian teknikal platform berkenaan. Beliau menunjukkan cara mudah untuk membina kelas digital (Create class), kaedah memuat naik serta menghantar tugasan membaca kepada pelajar (hantar assignment), dan seterusnya cara memantau perkembangan serta menyemak tugasan yang dihantar oleh pelajar secara masa nyata (real-time).

Menurut En. Mohd Farid, keupayaan teknikal ini sangat membantu kecekapan operasi pengajaran. “Melalui aplikasi ini, beban tugas pengajar dalam memeriksa tugasan lisan secara manual dapat dikurangkan dengan signifikan. Proses daripada membina kelas sehinggalah memantau tugasan kini menjadi lebih teratur. Automasi penilaian berasaskan AI ini membolehkan pendidik memberikan tumpuan yang lebih berkualiti kepada aspek bimbingan secara individu, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan,” tambah beliau.

Sesi bengkel ini turut mendapat maklum balas positif daripada para peserta. Salah seorang peserta bengkel, Cik Hayati Jalil, menyatakan bahawa perkongsian ini memberikan nilai tambah yang tersendiri kepada pengajaran mereka. Menurut beliau, fungsi yang diperkenalkan ini bukanlah satu ilmu yang asing atau baharu sepenuhnya, namun penganjuran bengkel ini bertindak sebagai medium terbaik untuk menyegarkan semula (refresh) pengetahuan sedia ada serta mengoptimumkan penggunaan Microsoft Teams dalam kalangan pendidik dengan lebih mendalam.

Pihak UBA berharap penganjuran bengkel seumpama ini mampu melahirkan lebih ramai warga pendidik yang kompeten dan berkeyakinan tinggi dalam mengemudi teknologi pendidikan masa hadapan. – Zeety Kartini Abdul Hamid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button