Ikrar perkukuh agenda KKP Universiti Awam Menerusi MKKPUA
Gambar oleh: Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Unversiti Awam (MKKPUA)
KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 – Majlis Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Awam (MKKPUA) menzahirkan iltizam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di universiti awam menerusi penganjuran Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat Kebangsaan 2026 dan Mesyuarat MKKPUA Bil. 1 Tahun 2026 di Universiti Malaya (UM).
Seminar KKP Peringkat Kebangsaan 2026 telah diadakan pada 22 Jun 2026 di Dewan Kuliah Bidara, Fakulti Perubatan, UM, dengan membawa tema “Memperkasakan Pengurusan Kesihatan Pekerjaan di Institut Pengajian Tinggi (IPT)”.

Program bermula seawal jam 8.30 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Ts. Dr. Syazwan Syah Zulkifly, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Bendahari MKKPUA.
Dalam ucapan alu-aluan dan perasmiannya, Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (OSHEC) UM merangkap Pengerusi MKKPUA, Dr. Faiz Baharudin, menekankan kepentingan pengurusan KKP secara menyeluruh bagi membudayakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan sejahtera di IPT.Majlis perasmian turut disusuli bacaan ikrar integriti KKP yang diketuai oleh beliau.

Seminar ini menampilkan barisan penceramah terdiri daripada pegawai kanan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), serta ahli akademik universiti awam dan swasta yang mempunyai kepakaran serta kompetensi diiktiraf JKKP.
Sepanjang program, peserta mengikuti enam sesi perkongsian ilmu merangkumi hala tuju pengurusan kesihatan pekerjaan di IPT, pematuhan perundangan, pengurusan kebisingan dan pemuliharaan pendengaran, risiko pendedahan bahan kimia, ergonomik serta risiko psikososial dan kesejahteraan mental di tempat kerja.
Susulan penganjuran seminar tersebut, MKKPUA turut mengadakan Mesyuarat MKKPUA Bil. 1 Tahun 2026 pada 23 Jun 2026 di Bilik Persidangan, Fakulti Undang-Undang, UM. Mesyuarat itu membincangkan pengukuhan peranan MKKPUA dalam mempromosi dan membudayakan KKP di IPT, termasuk pembangunan kompetensi KKP dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi.

Penganjuran seminar dan mesyuarat ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan strategik antara universiti awam, agensi kerajaan dan pengamal KKP, di samping menyokong usaha berterusan membudayakan amalan kerja selamat dan sihat dalam sektor pendidikan tinggi negara. Turut hadir mewakili UUM ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko UUM, Prof. Madya Dr. Rohana Abdul Rahman, serta Pegawai Tadbir, Nur Azimah Abdul Rahman. – Nurul Wajhi Yahaya



