Campus

SOE UUM dan IAB KPM jalin sinergi strategik: Lonjak merit akademik dan Kepemimpinan Pendidikan Negara

Berita dan gambar oleh: Muhd Zulhilmi Haron

BANDAR ENSTEK, 23 Jun 2026: Membawa misi pemantapan modal insan dalam ekosistem pendidikan tinggi dan kepemimpinan sekolah, Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini mengadakan satu kunjungan hormat bersejarah ke Institut Aminuddin Baki (IAB) Induk, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertempat di Balai Cendekia, Kompleks Pendidikan Nilai, Bandar Enstek.

Pertemuan berprestij tinggi ini mengetengahkan perbincangan meja bulat dua hala yang berfokuskan kepada pengukuhan rantaian nilai akademik dan pembangunan kapasiti kepemimpinan instruksional bagi mendepani dinamika pendidikan masa hadapan.

Delegasi SOE UUM telah diketuai oleh Dekan, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi bin Haji Othman, dan disambut mesra oleh Timbalan Pengarah Kanan (Kluster Khidmat Profesional) IAB KPM, YBrs. Dr. Abang Ismail bin Haji Abang Julhi yang mewakili Pengarah IAB KPM.

Pertemuan strategik tersebut berjaya merintis persetujuan awal terhadap dua fokus utama penawaran akademik peringkat pascasiswazah.

Sinergi ini merangkumi penawaran program Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) dan Sarjana Sains (Kepengetuaan) yang dikhususkan untuk memperkasa laluan kerjaya pentadbir sekolah, di samping peluasan peluang kerjasama program pengajian peringkat Kedoktoran (PhD dan Ed.D) bagi meningkatkan saujana intelektual dalam kalangan kakitangan akademik IAB KPM sendiri.

Dekan SOE UUM, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi bin Haji Othman menegaskan, kolaborasi ini melambangkan integrasi kepakaran kepemimpinan praktikal IAB selaku institusi latihan kepemimpinan, bersama-sama dengan nilai teras akademik serta penyelidikan yang ditawarkan oleh SOE UUM.

Melalui pemerkasaan kelayakan akademik kakitangan IAB dan warga KPM, kualiti pengurusan pendidikan negara diyakini dapat dimartabatkan ke peringkat global.

Pihak pengurusan tertinggi IAB KPM turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap keupayaan SOE UUM dan menyambut baik kesediaan universiti awam tersebut untuk bekerjasama rapat demi merealisasikan agenda transformasi pendidikan nasional. Sesi kunjungan hormat ini akan disusuli dengan perbincangan teknikal yang lebih teliti bagi merangka tindakan pelaksanaan dalam masa terdekat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button