Campus
CeTMA perkukuh perancangan organisasi melalui Bengkel Strategik 2026
Berita dan gambar oleh: Nabila Ayuni Saiful Bahari
IPOH, 11 Jun 2026 – Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Perancangan Pelan Strategik 2026 dan Pemantapan Tadbir Urus CeTMA di MH Hotel, Ipoh, Perak bagi memperkukuh perancangan organisasi serta meningkatkan keberkesanan pengurusan pusat.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan warga CeTMA dalam sesi perbincangan dan percambahan idea yang memfokuskan kepada penyelarasan fungsi, penetapan keutamaan strategik serta pengukuhan tadbir urus organisasi sejajar dengan aspirasi universiti.

Program tersebut turut menjadi platform untuk menilai semula keperluan semasa organisasi, mengenal pasti peluang penambahbaikan serta merangka pelan tindakan yang lebih sistematik bagi memastikan CeTMA terus relevan, berdaya saing dan mampu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pihak berkepentingan.
Sebagai sebahagian daripada pengisian program, delegasi CeTMA turut mengadakan kunjungan strategik ke Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, perundingan dan latihan profesional.
Kunjungan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta mengenal pasti peluang kolaborasi yang mampu memberi manfaat bersama.

Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md. Yusof berkata, bengkel berkenaan merupakan inisiatif penting dalam memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Persekitaran pendidikan tinggi yang sentiasa berkembang menuntut organisasi untuk lebih proaktif dalam merancang dan menyesuaikan strategi pelaksanaan.

Bengkel ini memberi ruang kepada warga CeTMA untuk menyatukan pandangan, memperkukuh kesepakatan serta merangka hala tuju yang jelas bagi mendukung agenda kecemerlangan universiti,” katanya.
Beliau turut berharap agar hasil perbincangan sepanjang bengkel serta jaringan kerjasama yang dibina melalui kunjungan strategik tersebut dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan CeTMA pada masa hadapan.
Program berkenaan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan menghasilkan cadangan tindakan strategik yang lebih berfokus, memperkukuh semangat kerja berpasukan serta meningkatkan komitmen warga CeTMA dalam merealisasikan agenda pembangunan pusat secara mampan dan berterusan.



