DHL APSSC perkasa kebolehpasaran pelajar UUM melalui pembentangan kajian kes
Gambar: Dr. Fikriyah Abdullah
SINTOK, 23 Jun 2026: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) berpeluang memperkukuh kemahiran analitikal, komunikasi profesional dan kefahaman industri melalui penganjuran program Case Study Presentation oleh Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG), UUM bersama DHL Asia Pacific Shared Services (DHL APSSC).
Program ini menyaksikan para pelajar membentangkan kajian kes sebagai tugasan akhir yang telah diberikan oleh pihak DHL.

Pembentangan tersebut memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam konteks sebenar industri, khususnya berkaitan penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan penyampaian idea secara profesional.
Pihak DHL APSSC telah diwakili oleh En. Tharaka De Silva, Head of Human Resources, En. Hakimi Sakri, HR Manager serta Cik Shawanah Sebir dan Puan Siti Radziah, Talent Acquisition.
Kehadiran wakil industri tersebut memberikan nilai tambah kepada pelajar kerana mereka berpeluang menerima maklum balas secara langsung daripada pihak DHL terhadap hasil pembentangan yang dikemukakan.

Sesi ini turut memberi pendedahan kepada pelajar tentang aspek penilaian industri, keperluan majikan serta kemahiran yang perlu diperkukuh sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Dr. Fikriyah Abdullah, Pengarah PPKKG, serta Dr. Aidanajwa Sabri, Penyelaras Program School of Hard Knocks.

Kehadiran pihak universiti dan industri mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan strategik antara UUM dengan rakan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurut Dr. Fikriyah Abdullah, program seumpama ini amat penting dalam menyediakan pelajar dengan pengalaman pembelajaran berasaskan industri.
Katanya, pendedahan secara langsung kepada tugasan berbentuk kajian kes membolehkan pelajar memahami kehendak sebenar majikan serta meningkatkan keyakinan mereka untuk memasuki alam pekerjaan.

Beliau berkata, pembentangan kajian kes bersama pihak industri bukan sahaja menguji keupayaan pelajar dari segi akademik, malah turut membina keyakinan, kemahiran menyelesaikan masalah dan keupayaan berkomunikasi secara berkesan.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen UUM dalam memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan melalui kerjasama strategik bersama pihak industri. Inisiatif seperti ini diharap dapat terus membuka ruang kepada pelajar untuk membina jaringan profesional, meningkatkan kompetensi diri dan bersedia menjadi graduan yang berdaya saing.



