CampusGeneral

UUM-IRM teroka kerjasama Latihan BCM bersama Felcra Berhad

Berita dan gambar oleh: Amar Yasier Razli

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2026:Institut Pengurusan Risiko Universiti Utara Malaysia (UUM-IRM) telah mengadakan kunjungan ke FELCRA Berhad bagi memenuhi jemputan pihak FELCRA Berhad untuk sesi taklimat berkaitan Business Continuity Management (BCM).

Sesi tersebut merupakan platform perkongsian awal antara UUM-IRM dan FELCRA dalam memperkukuh kefahaman berkaitan kepentingan BCM sebagai satu pendekatan strategik bagi memastikan kesinambungan operasi organisasi, khususnya dalam menghadapi gangguan dan risiko luar jangka.

Pihak FELCRA selaku tuan rumah diwakili oleh En. Norazizul Abdul Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Strategik, Risiko dan Pelaburan bersama staf Cawangan Risiko dan Tadbir Urus FELCRA. Sementara itu, UUM-IRM pula diwakili oleh Dr. Zairol Azhar Auzzir dan Dr. Amar Yasier Razli yang turut berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan pelaksanaan pengurusan risiko dan BCM dalam konteks organisasi.

Pihak FELCRA menzahirkan penghargaan dan rasa gembira atas kehadiran UUM-IRM serta perkongsian yang diberikan sepanjang sesi tersebut. Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama masa hadapan, khususnya dalam aspek latihan dan pembangunan kapasiti berkaitan pengurusan risiko serta BCM untuk warga FELCRA.

Menurut Dr. Amar, kunjungan ini membuka ruang yang baik untuk memperkukuh hubungan universiti-industri, di samping meneroka peluang latihan profesional yang dapat memberi manfaat kepada organisasi luar serta memperluas peranan UUM-IRM sebagai pusat rujukan dalam bidang pengurusan risiko.

Kunjungan ini selaras dengan komitmen UUM-IRM untuk terus menyokong perkongsian ilmu, pemindahan kepakaran, pembangunan kapasiti serta jaringan strategik bersama agensi serta industri dalam memperkukuh amalan pengurusan risiko di Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button