Bengkel Publish with Confidence perkasa budaya penerbitan berimpak tinggi di SOG UUM
Gambar oleh: Dr. Mariah Darus@Mat Junus dan Mohd Mahadi Mohd Razani
SINTOK, 23 Jun 2026 – Seramai 30 peserta yang terdiri daripada pensyarah telah menyertai Bengkel Publish with Confidence: Penulisan Artikel Jurnal Berimpak Tinggi yang berlangsung di Bilik Seminar, Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bengkel sehari yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Penerbitan SOG itu bertujuan memperkukuh kemahiran penulisan akademik, meningkatkan kadar penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi serta membantu peserta memahami kehendak editor dan penilai jurnal antarabangsa.

Program ini disampaikan oleh Dr. Puvaneswaran Kunasekaran, Editor-in-Chief Pertanika Journal of Social Science and Humanities.
Sepanjang bengkel, beliau berkongsi strategi penulisan artikel yang berkesan, teknik memenuhi jangkaan editor dan reviewer, kaedah meningkatkan peluang penerimaan manuskrip serta amalan terbaik dalam penerbitan akademik.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Sharif Shafiron Sharif Ali, dalam ucapannya berkata bahawa penerbitan berkualiti tinggi merupakan satu daripada indikator utama kecemerlangan Universiti dan penyelidik.

“Penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi bukan sekadar memenuhi sasaran akademik, malah menjadi medium penting untuk menyebarluaskan dapatan penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan pembuat dasar.
Justeru, usaha membina keyakinan dan kompetensi penulisan dalam kalangan ahli akademik perlu diperkasakan secara berterusan,” katanya.

Menurut beliau, perkongsian pengalaman daripada Editor-in-Chief yang berpengalaman memberi peluang kepada peserta memahami cabaran sebenar dalam proses penerbitan dan seterusnya meningkatkan kualiti manuskrip yang dihasilkan.
Para peserta menyambut baik penganjuran bengkel tersebut dan menyifatkan sesi perkongsian yang diberikan sebagai praktikal, relevan dan berupaya membantu mereka merancang strategi penerbitan yang lebih sistematik.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah penerbitan berkualiti tinggi dalam kalangan warga akademik SOG serta menyokong agenda kecemerlangan penyelidikan Universiti Utara Malaysia. – Dr. Khofizhoah Mohd Karim



