General

Pusat Pengajian Pengkomputeran cemerlang di SULAM Driven Innovation 2026 (SUDI’26)

Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Husniza Husni

SINTOK, 25 Jun 2026: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya meraih kemenangan dalam pertandingan SULAM Driven Innovation 2026 (SUDI’26) yang berlangsung di Dewan Tan Sri Othman (DTSO), UUM, hari ini. SOC merangkul tempat kedua bertajuk “SafeGuard: Ekosistem Tindak Balas Masa Nyata yang Inklusif untuk Mitigasi Banjir Komuniti” oleh Amir Amjad Abdul Rahman dan Nik Muhammad Izzad Aziz.

Manakala tempat ketiga juga dimenangi oleh Mohamed Kurshith Mohamed Safi dengan inovasi digital bertajuk “MyBelanja: Empowering Changlun Households to Real-Time Data Driven Financial Resilience”.

Kejayaan ketiga-tiga pelajar jurusan Sains Komputer tersebut, yang diselia oleh Prof. Madya Dr. Husniza Husni dan Dr. Noor Nabilah Abdullah melalui Kursus SULAM STTHK1013 Reka Bentuk Interaksi, mencerminkan komitmen warga SOC dalam menerapkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui konsep Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), yang menggabungkan ilmu akademik, inovasi dan impak kepada komuniti. SOC juga turut diwakili oleh 5 kumpulan daripada kursus STISK3123 Analitik Data Media Sosial yang diselia oleh Prof. Madya Ts. Dr. Juhaida Abu Bakar.

Pertandingan SUDI’26 menghimpunkan pelbagai projek berteraskan komuniti daripada pusat-pusat pengajian dan fakulti di UUM, dengan penilaian memberi tumpuan kepada elemen utama seperti impak kepada komuniti, kelestarian projek, pemetaan SULAM dan hasil pembelajaran kursus SULAM dan juga refleksi.

Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran, Prof. Ts. Dr. Osman Ghazali, merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan yang terlibat atas pencapaian membanggakan tersebut.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pasukan SOC atas kejayaan ini. Kemenangan di SUDI’26 membuktikan bahawa inovasi yang dibangunkan oleh warga SOC bukan sahaja berteraskan kecemerlangan akademik dan teknologi, malah mampu memberikan manfaat yang signifikan kepada masyarakat. Saya berharap pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang menyokong agenda universiti dan pembangunan negara.” Katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa SOC akan terus memperkukuh budaya inovasi dan penglibatan komuniti dan agensi berkaitan dalam kalangan pelajar serta staf akademik sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berjiwa masyarakat.

Kejayaan ini juga mencerminkan kesungguhan SOC dalam menerapkan pendekatan pendidikan yang holistik, selaras dengan matlamat SULAM yang menekankan pembelajaran bermakna melalui penyelesaian cabaran sebenar komuniti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button