100 pelajar IBS lulus latihan kerja di Takaful Ikhlas
Oleh: Zulaidah Mat Said
Gambar oleh: Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG)
SINTOK, 25 Jun 2026 – Seramai 100 pelajar daripada program pengajian di Islamic Business School (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) diraikan pada Majlis Graduasi IKHLAS Padawan 2.0 selepas berjaya menamatkan program pembangunan bakat yang berlangsung sepanjang satu semester hasil kerjasama strategik antara UUM dan Takaful IKHLAS Family Berhad.
Program anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Takaful IKHLAS Family Berhad itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar terhadap dunia pekerjaan sebenar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman industri, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan dan melahirkan bakat yang memenuhi keperluan pasaran kerja.

Mewakili Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Penolong Naib Canselor College of Business merangkap Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, UUM komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan rakan industri dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh kepada pelajar.
Beliau berkata, kerjasama antara UUM dan Takaful IKHLAS yang bermula menerusi Program School of Hard Knocks (SoHK) telah membuka peluang kepada pelajar mengikuti latihan, bengkel dan lawatan industri yang memberi pendedahan awal terhadap alam pekerjaan sebenar.
“Tahniah kepada semua IKHLAS Padawan atas pencapaian yang membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan yang lebih besar pada masa hadapan serta memberi inspirasi kepada pelajar lain,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja meningkatkan kemahiran kreatif dan analitikal pelajar, malah membantu mereka membina jaringan profesional, memperkukuh keyakinan diri serta melengkapkan mereka dengan pengalaman praktikal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Beliau turut berharap kerjasama strategik antara PPKG, UUM dan Takaful IKHLAS Family Berhad akan terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan lebih banyak program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada pelajar, komuniti dan masyarakat.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Family Berhad, Encik Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri amat penting dalam melahirkan graduan yang kompeten serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

Menurut beliau, Program IKHLAS Padawan 2.0 memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar industri, sekali gus meningkatkan kompetensi dan keyakinan diri.
Beliau berkata, program yang berlangsung sepanjang satu semester itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada aspek teknikal dan profesional dalam bidang pengiklanan serta pemasaran, malah membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis yang amat diperlukan oleh majikan.
“Pihak industri sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan universiti dalam usaha membangunkan bakat muda yang berkualiti.
Program seperti ini membuka ruang kepada pelajar untuk memahami kehendak industri sebenar serta mempersiapkan diri mereka dengan lebih baik sebelum melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, hubungan erat antara universiti dan industri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan graduan yang dilahirkan mempunyai keseimbangan antara pengetahuan akademik, kemahiran profesional dan nilai kepimpinan.
majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 14 mentor sebagai pengiktirafan atas dedikasi mereka membimbing, berkongsi pengalaman industri serta memberikan tunjuk ajar kepada para pelajar sepanjang program berlangsung.
Majlis graduasi itu menjadi simbol kejayaan kerjasama erat antara UUM dan Takaful IKHLAS Family Berhad dalam memperkasa pembangunan bakat mahasiswa serta memperkukuh kebolehpasaran graduan melalui pengalaman pembelajaran yang selari dengan keperluan industri semasa.



