IBS, UUM meterai kerjasama strategik dengan Menara Shariah melalui pemeteraian MoU
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Norazlina binti Abd. Wahab
INDONESIA: 22 jUN 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Menara Shariah dalam satu majlis yang berlangsung sempena Simposium Antarabangsa Takaful bertemakan “Reimagining Takaful for A Sustainable World” di Banten, Indonesia.
Majlis pemeteraian tersebut menyaksikan UUM diwakili oleh Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Prof. Dr. Selamah Maamor, manakala Menara Shariah diwakili oleh Harianto Solichin selaku Pengerusi Menara Shariah.

Pemeteraian MoU ini melambangkan komitmen kedua-dua institusi untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran, khususnya dalam bidang kewangan Islam, takaful dan pembangunan lestari.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka ruang kepada pelbagai inisiatif bersama termasuk pelaksanaan projek latihan, penyelidikan, penganjuran seminar dan persidangan antarabangsa, pertukaran kepakaran akademik serta pembangunan program yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Majlis tersebut diadakan bersempena Simposium Antarabangsa Takaful bertajuk “Reimagining Takaful for A Sustainable World”, yang menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pemain industri bagi membincangkan hala tuju industri takaful dalam mendepani cabaran global serta menyokong agenda pembangunan mampan.

Simposium ini turut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan mengenai inovasi, daya tahan dan peranan takaful dalam menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Prof. Madya Dr. Norazlina Abd Wahab, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), IBS UUM, bersama para akademik, penyelidik dan wakil industri yang mengikuti simposium berkenaan.
Melalui pemeteraian MoU ini, UUM dan Menara Shariah berharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama akademik dan industri di peringkat antarabangsa, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi dan amalan terbaik dalam bidang kewangan Islam dan takaful.

Kerjasama ini juga selaras dengan aspirasi UUM untuk terus memperluas jaringan global serta meningkatkan impak penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat sejagat. Sebagai langkah awal pelaksanaan kerjasama tersebut, kedua-dua pihak telah merancang untuk menganjurkan program latihan berkaitan takaful yang disasarkan kepada pemain industri di Indonesia.
Program ini dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman, meningkatkan kompetensi profesional serta memperluas amalan terbaik industri takaful di negara berkenaan.



