Kelab Kenu UUM anjur program kayak ecosystem adventure, semai kesedaran pemuliharaan Sungai di Baling
Gamber oleh: Amirul Akif bin Abdul Wahab
BALING, 20 Jun 2026 – Seramai 24 ahli Kelab Kenu Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program Kayak Ecosystem Adventure yang berlangsung di Kampung Bongor Derom, Baling, Kedah, sebagai platform mengaplikasikan ilmu pengurusan projek dan program melalui aktiviti rekreasi berasaskan alam sekitar.
Program ini turut mendapat bimbingan daripada jurulatih serta river guide daripada Persatuan Kayak Baling, sekali gus memastikan aspek keselamatan dan kelancaran perjalanan aktiviti.

Antara pengisian utama program ialah aktiviti melepaskan benih ikan air tawar ke Sungai Baling sebagai usaha menyokong pemuliharaan ekosistem sungai dan meningkatkan kesedaran peserta terhadap kepentingan memelihara biodiversiti perairan daratan.
Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran secara langsung kepada peserta, malah memupuk rasa tanggungjawab dalam memelihara sumber semula jadi untuk manfaat generasi akan datang.
Selain mengasah kemahiran berkayak, peserta turut berpeluang mengaplikasikan elemen pengurusan projek, termasuk perancangan program, pengurusan risiko, kerja berpasukan, komunikasi serta kepimpinan dalam suasana sebenar. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan kompetensi mahasiswa di luar bilik kuliah.

Pengarah projek, Raja Nur Amin Raja Zulkarnain berkata “program ini memberikan saya pengalaman mengetuai satu projek, berurusan dengan pihak luar, menguruskan risiko sepanjang program berlangsung dan mengasah kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai pihak”
Program ini juga menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 14 Life Below Water melalui usaha memulihara hidupan akuatik dan ekosistem sungai, serta SDG 3 Good Health and Well-being dengan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti rekreasi luar yang meningkatkan kecergasan fizikal, kesejahteraan mental dan gaya hidup sihat.

Penganjuran Kayak Ecosystem Adventure membuktikan komitmen Kelab Kenu UUM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja aktif dalam bidang rekreasi air, malah mempunyai kesedaran tinggi terhadap pemuliharaan alam sekitar serta mampu mengaplikasikan ilmu pengurusan dalam pelaksanaan program berimpak tinggi.
Melalui kerjasama erat dengan Persatuan Kayak Baling, program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar dan pembangunan modal insan. Program dirasmikan oleh En Muhammad Ikhwan Bin Chewan, Pengerusi Majlis Ketua Kampung Titi Teduri dan turut hadir En Abdul Rahman bin Zainon, Pengerusi Majlis Ketua Kampung Pokok Sena. – Nur Khalidah Anisah binti Mohd Salleh dan Nik Muhammad Fawwaz Hilmi bin Nik Mat



