IBS, UUM dan KWSP perkasakan Bakal Guru IPG Kampus Perlis melalui Program Hari Celik Kewangan
Gambar oleh: Dr. Mohd Badrul Hakimi Daud
KANGAR, 21 Mei 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya menganjurkan program Hari Celik Kewangan baru-baru ini.
Program berimpak tinggi ini diadakan bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis untuk memperkasakan literasi kewangan para bakal guru. Ia menyasarkan penyertaan dalam kalangan pelajar tahun akhir dari pelbagai jurusan yang bakal memulakan kerjaya perguruan mereka.

Inisiatif ini dirangka khusus untuk mempersiapkan bakal guru dengan ilmu pengurusan kewangan sebelum mereka menerima gaji pertama di sekolah masing-masing. Antara pengisian utama acara ini adalah ceramah komprehensif bertajuk “Perancangan Kewangan Peribadi – Gaji Pertama & Waspada Scam”.
Sesi perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat ini telah disampaikan dengan cemerlang oleh Dr. Amirul Haqeem bin Abd Ghani.
Selain itu, pihak KWSP turut mengadakan sesi taklimat khas bertajuk Celik Urus Kewangan Persaraan bagi memberi pendedahan awal mengenai kepentingan simpanan masa depan. Reruai pendaftaran akaun KWSP juga telah dibuka sepanjang program berlangsung untuk memudahkan urusan para peserta. Langkah proaktif ini memastikan bakal pendidik cakna tentang keperluan caruman seawal langkah pertama mereka ke alam pekerjaan.

“Program ini membuka mata kami terhadap pentingnya (untuk) urus kewangan supaya kami boleh berhadapan dengan realiti berbelanja setelah memperolehi gaji kami nanti”, kata seorang daripada bakal guru dalam jurusan bahasa Melayu tersebut.
Delegasi rasmi dari IBS telah diketuai oleh pengerusi program HACK IPT 2026, Encik Mohd Saharudin Shakrani, bersama barisan ahli akademik yang komited. Turut hadir menjayakan program ini ialah Dr. Mohamad Yazid Isa, Dr. Tubagus Thresna Irijanto, Dr. Mohd Badrul Hakimi bin Daud, dan juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Encik Khairul Anuar Bin Adnan daripada.

Kehadiran delegasi ini membuktikan komitmen berterusan universiti dalam menyumbang kepakaran secara langsung kepada masyarakat.
Program kolaborasi strategik ini diharap dapat melahirkan generasi pendidik yang bukan sahaja cemerlang dalam tugas hakiki tetapi juga terhindar daripada penipuan kewangan. Usaha ini amat sejajar dengan hasrat Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk terus melestarikan pendidikan kewangan yang mapan. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang komited memastikan kelancaran program ini. – Dr. Tubagus Thresna Irijanto



