CampusEducation

Dana Sosial Takaful UUM perkasa literasi kewangan 250 mahasiswa UITM Perlis melalui HACK 2026

Gambar oleh: En Khairul Anuar Adnan

ARAU, 27 Jun 2026: Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah berjaya menganjurkan Program Hari Celik Kewangan (HACK) 2026 bertempat di Dewan Kuliah 7, UiTM Cawangan Perlis.

Program ini berjaya menghimpunkan seramai 250 orang pelajar daripada pelbagai fakulti termasuk Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Perakaunan, Fakulti Sains Gunaan serta Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Program ini bertujuan meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa agar lebih bersedia menghadapi cabaran pengurusan kewangan pada masa hadapan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Azrul Abdullah, mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis, yang turut menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha memperkasakan kesedaran kewangan dalam kalangan mahasiswa.

Antara pengisian utama program ialah dua slot perkongsian ilmu yang memberi fokus kepada kepentingan perancangan kewangan sejak di peringkat awal. Slot pertama bertajuk “Investing for the Future” telah disampaikan oleh Dr. Afiruddin Tapa, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), manakala slot kedua “KWSP & Anda” telah dikendalikan oleh En. Amar Afifi Omar daripada KWSP Kangar yang memberi pendedahan berkaitan kepentingan simpanan persaraan dan pengurusan kewangan jangka panjang.

Menurut Pengarah Dana Sosial Takaful (STF), Encik Mohd Saharudin Shakrani, program seperti ini sangat penting dalam membentuk generasi muda yang lebih peka terhadap kepentingan pengurusan kewangan sejak awal.

Beliau berkata, “Mahasiswa hari ini perlu dibekalkan dengan ilmu pengurusan kewangan yang kukuh agar mereka dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak, berhemah dan berstrategi apabila melangkah ke alam pekerjaan nanti. Penganjuran program seperti HACK ini merupakan sebahagian daripada mandat Dana Sosial Takaful dalam memperluaskan kesedaran kewangan kepada masyarakat, institusi pendidikan dan generasi muda.”

Tambah beliau lagi, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan agensi seperti KWSP bukan sahaja dapat memperkukuhkan ilmu kewangan dalam kalangan mahasiswa, malah mampu membina ekosistem pendidikan kewangan yang lebih mampan dan berimpak tinggi.

Penganjuran HACK 2026 ini selari dengan komitmen berterusan Dana Sosial Takaful, IBS UUM dalam memperkasakan masyarakat melalui pendidikan kewangan, kesejahteraan sosial dan pembangunan komuniti secara berterusan.

Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan celik kewangan dalam kalangan mahasiswa serta melahirkan generasi yang lebih bersedia mengurus kewangan dengan baik demi masa depan yang lebih terjamin. – Mohd Saharudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button