Gambar oleh: Khairul Anuar Adnan
SUNGAI PETANI, 23 Jun 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah telah berjaya menganjurkan Program Hari Celik Kewangan (HACK IPT) 2026 bertempat di Dewan Sarjana 1, UiTM Cawangan Kedah.
Program yang berlangsung itu telah menghimpunkan seramai 300 orang pelajar UiTM Cawangan Kedah sebagai usaha memperkukuhkan kesedaran berkaitan pengurusan kewangan peribadi serta kepentingan perancangan kewangan jangka panjang dalam kalangan mahasiswa.

Penganjuran program ini diketuai oleh Pengarah Program, Encik Mohd Saharudin Shakrani, yang menegaskan bahawa kesedaran kewangan dalam kalangan mahasiswa perlu diperkasakan lebih awal agar mereka lebih bersedia mengurus kewangan dengan lebih berhemah apabila melangkah ke alam pekerjaan.
Menurut beliau, “Program seperti Hari Celik Kewangan (HACK IPT) ini sangat penting dalam memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang sistematik, perancangan simpanan dan persediaan menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan. Mahasiswa bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah perlu bijak dalam mengurus kewangan demi kesejahteraan hidup.”

Antara pengisian utama program ialah Pengurusan Kewangan Bijak yang telah disampaikan oleh Dr. Afiruddin Tapa, Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM). Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi panduan berkaitan pengurusan kewangan yang berkesan, strategi perbelanjaan berhemah dan kepentingan pelaburan bagi menjamin kestabilan kewangan pada masa hadapan.
Slot kedua pula bertajuk Perancangan Persaraan telah disampaikan oleh Tengku Asma’a binti Tengku Abdul Jalil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberi penerangan berhubung kepentingan simpanan persaraan, peranan KWSP serta kepentingan membina jaminan kewangan sejak di peringkat awal kerjaya.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta yang menunjukkan minat tinggi terhadap topik yang dibincangkan. Selain memberi ilmu pengetahuan, program ini juga membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami realiti pengurusan kewangan sebenar dan kepentingan membuat keputusan kewangan yang bijak.
Penganjuran HACK IPT 2026 membuktikan komitmen berterusan UUM, KWSP dan UiTM Kedah dalam memperkukuhkan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan membina masa depan yang lebih stabil, mampan dan sejahtera. -Mohd Saharudin



