CampusEducation

Mahasiswa PTSS didedahkan kepentingan simpanan awal menerusi program HACK @ IPT 2026

Gambar oleh: Khairul Anuar Adnan

ARAU, 16 Jun 2026 – Kesedaran mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan perancangan persaraan dalam kalangan generasi muda terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Hari Celik Kewangan (HACK) @ IPT 2026 yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS).

Program anjuran Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PTSS itu berjaya menghimpunkan seramai 160 pelajar asasi dalam usaha membudayakan pemikiran kewangan yang lebih strategik sejak di peringkat awal pengajian.

Inisiatif ini memberi penekanan kepada kepentingan membina asas kewangan yang kukuh, khususnya dalam aspek simpanan, pelaburan dan persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat pengajian.

Pengarah Program HACK @ IPT 2026, Encik Mohd Saharudin Shakrani, berkata mahasiswa perlu memahami bahawa kestabilan kewangan tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya perlu dirancang sejak awal.

Beliau menjelaskan, “Ramai golongan muda hanya mula memikirkan soal kewangan apabila sudah bekerja. Hakikatnya, budaya menyimpan, merancang dan memahami instrumen kewangan perlu dibentuk lebih awal supaya mereka lebih bersedia menghadapi komitmen hidup dan cabaran ekonomi yang semakin mencabar.”

Tambah beliau lagi, penganjuran program seperti HACK menjadi platform penting dalam merapatkan jurang pengetahuan antara teori dan realiti pengurusan kewangan sebenar yang bakal dihadapi mahasiswa.

Sesi perkongsian daripada Dr. Mohd Badrul Hakimi bin Daud, Pensyarah Kanan UUM, membuka tirai program dengan kupasan menyeluruh mengenai celik kewangan, termasuk kepentingan pengurusan aliran tunai, disiplin kewangan dan strategi membina tabungan yang konsisten.

Program diteruskan dengan slot “KWSP dan Anda” yang disampaikan oleh Encik Amar Afifi bin Omar dari KWSP. Sesi ini memberi pendedahan mengenai kepentingan perancangan persaraan sejak usia muda, selain memperkenalkan pelbagai kemudahan serta produk KWSP yang relevan kepada golongan mahasiswa.

Sepanjang program berlangsung, para peserta dilihat memberikan komitmen yang tinggi dan menunjukkan minat mendalam terhadap isu-isu berkaitan pengurusan kewangan, khususnya dalam memahami bagaimana keputusan kewangan hari ini mampu memberi kesan besar terhadap masa depan mereka.

Melalui penganjuran HACK @ IPT 2026, STF IBS UUM terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu pendidikan kewangan dan kesejahteraan sosial, selaras dengan aspirasi membentuk generasi muda yang lebih celik, bijak dan berdaya tahan dari sudut kewangan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button