CampusEducation

SULAM UUM perkasa literasi kewangan pelajar melalui program InvestSmart: Start Early, Grow Wealth

Gambar oleh: Resiini Elilarasan

JITRA, 10 Jun 2026: Program Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) merupakan satu kaedah pembelajaran yang memberi peluang kepada pelajar universiti untuk menyumbangkan pengetahuan dan kemahiran bagi menangani isu dalam kalangan masyarakat.

Sempena program ini, pelajar Seminar in Finance telah berjaya menganjurkan program bertajuk InvestSmart: Start Early, Grow Wealth di SMK Seri Mahawangsa, Jitra, Kedah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan SULAM bagi kursus BWFFK3193.

Program ini melibatkan seramai 47 orang pelajar Tingkatan 4. Penganjurannya adalah hasil kolaborasi strategik antara pelajar universiti dengan pihak sekolah, khususnya dengan sokongan Cikgu Linda, Cikgu Noraliza dan Puan Suhaizan selaku pengetua SMK Seri Mahawangsa.

Program ini merangkumi topik simpanan, belanjawan, asas pelaburan dan kesedaran penipuan kewangan, sesi Ice-Breaking, serta Treasure Hunt yang menggabungkan elemen pendidikan kewangan dengan aktiviti explorace yang menarik dan interaktif.

Program ini diakhiri dengan ucapan penutup oleh Prof. Madya Dr. Rasidah binti Mohd Rashid, Pensyarah kursus Seminar in Finance, yang menyatakan bahawa program tersebut mencerminkan pendekatan SULAM dalam mengintegrasikan pembelajaran akademik dengan khidmat kepada masyarakat.

Menurut beliau, penglibatan pelajar dalam program seperti ini bukan sahaja memberi peluang untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah, malah membantu membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua SMK Seri Mahawangsa serta barisan guru atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini. Pada masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh jawatankuasa pelaksana atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan program.

Kejayaan program InvestSmart: Start Early, Grow Wealth ini membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan perkhidmatan masyarakat mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten secara akademik, malah peka terhadap tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat. – Athirah Ayuni binti Suzaiennudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button