CampusEducation

Pengurusan TVET UUM dalami pendigitalan TVET dan teknologi 5G bersama Shenzhen Polytechnic University

Berita dan gambar oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Bin Hj. Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Jun 2026 – Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh agenda pendigitalan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila menyertai TVET Digital Capacity Workshop 2026 yang dianjurkan hasil kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Shenzhen Polytechnic University (SZPU), China dan UNESCO-UNEVOC di IBIS Hotel Kuala Lumpur City Centre.

Bengkel ini menjadi platform perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan TVET digital yang berteraskan teknologi, inovasi dan keperluan industri global.

Pengurusan TVET UUM diwakili oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad dan Dr. Norwahida binti Yakub @ Yaakub, yang hadir bagi mengikuti sesi perkongsian serta meneliti pendekatan terkini dalam memperkasakan pembangunan bakat berkemahiran tinggi melalui ekosistem TVET digital.

Bengkel dimulakan dengan sesi NEV Programme Development for a Digital and Green Era yang disampaikan oleh Dr. Song Heran dari Shenzhen Polytechnic University.

Sesi ini memberi penekanan kepada pembangunan program New Energy Vehicle (NEV) yang berpaksikan pendigitalan dan kelestarian, termasuk penyelarasan kurikulum berasaskan industri, pembangunan fasiliti latihan bertaraf industri, pengukuhan kerjasama strategik dengan syarikat automotif serta pelaksanaan model pembelajaran yang mengintegrasikan teori dan latihan amali bagi memenuhi keperluan industri automotif masa hadapan.

Pada sebelah petang, peserta mengikuti sesi Developing 5G Technology Courses – SZPU’s Practice yang dikendalikan oleh Dr. Li Zhuyin. Pembentangan memberi fokus kepada landskap teknologi 5G, permintaan bakat dalam industri digital, pembangunan kurikulum berasaskan kompetensi, penggunaan simulasi maya (virtual simulation), projek berasaskan industri serta integrasi teknologi terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pendekatan ini dilihat mampu melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan Revolusi Industri 4.0 serta ekonomi digital.

Penyertaan dalam bengkel ini memberikan pendedahan yang signifikan kepada Pengurusan TVET UUM terhadap model pembangunan TVET bertaraf antarabangsa yang menggabungkan inovasi digital, kolaborasi industri dan pembangunan modal insan secara holistik. Pengalaman yang diperoleh akan dimanfaatkan sebagai rujukan dalam memperkukuh inisiatif transformasi TVET UUM ke arah melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri serta menyokong agenda pembangunan ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button