Berita dan gambar oleh: Muhammad Nazrul Abd Rani
SINTOK, 22 Jun 2026 – Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan tiga siri program “In Session with YA Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee” yang menampilkan Hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Yang Arif Dr. John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee yang juga merupakan Profesor Adjung Pusat Pengajian Undang-Undang, sebagai penceramah jemputan.
Program yang berlangsung pada 19 Mei, 15 Jun dan 22 Jun 2026 itu bertujuan memperkukuh pengetahuan serta pendedahan pelajar terhadap aspek akademik dan amalan profesion perundangan.

Sesi pertama pada 19 Mei 2026 melibatkan pelajar LLB Tahun Pertama dan Tahun Kedua dengan pengisian bertemakan How to Navigate into Law School.
Yang Arif berkongsi panduan untuk menyesuaikan diri dengan pengajian undang-undang, di samping menerangkan kaedah membaca dan menganalisis kes mahkamah secara berkesan. Pelajar turut didedahkan kepada teknik mengenal pasti isu undang-undang, fakta material, ratio decidendi dan obiter dicta sebagai asas penting dalam pembelajaran undang-undang.
Sesi kedua yang diadakan pada 15 Jun 2026 bersama pelajar Tahun Akhir memberi fokus kepada pembangunan kemahiran advokasi.
Yang Arif berkongsi pengalaman beliau sebagai peguam dan hakim serta menjelaskan ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh seorang peguam yang cemerlang, termasuk penguasaan fakta dan undang-undang, kemahiran berhujah, etika profesional, serta keyakinan ketika berhadapan dengan mahkamah.

Sementara itu, sesi ketiga pada 22 Jun 2026 melibatkan pelajar Tahun Ketiga dengan topik Undang-Undang Perbankan Islam dan Undang-Undang Tanah. Dalam sesi tersebut, Yang Arif mengupas beberapa prinsip penting dalam kedua-dua bidang berkenaan serta membincangkan beberapa kes mahkamah yang signifikan bagi membantu pelajar memahami aplikasi undang-undang dalam situasi sebenar.
Ketiga-tiga siri perkongsian ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar kerana memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan seorang hakim Mahkamah Tinggi yang berpengalaman.

Program turut dihadiri oleh Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, Profesor Dr. Harlida Abdul Wahab, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Nor Anita Abdullah, serta Pengarah Unit Pengurusan Penyelidikan UUM, Profesor Madya Dr. Mohammad Azam Hussain.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Undang-Undang UUM dalam memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan badan kehakiman, di samping melahirkan graduan undang-undang yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah bersedia menghadapi cabaran profesion perundangan pada masa hadapan.



