Gambar oleh: Mohd Fanzuri Abu Bakar
SINTOK, 29 Jun 2026 – School of Quantitative Sciences (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Decision Science Research Symposium 2026 bertemakan “From Data to Decisions: Transforming Insights into Impact” sebagai platform akademik bagi mengetengahkan hasil penyelidikan pelajar tahun akhir Program Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Pemutusan).
Simposium yang berlangsung di School of Quantitative Sciences (SQS), UUM ini merupakan kemuncak kepada perjalanan penyelidikan pelajar yang dilaksanakan sepanjang dua semester pengajian. Projek penyelidikan bermula menerusi kursus Kaedah Kajian dalam Sains Kuantitatif, yang memerlukan setiap pelajar membangunkan cadangan penyelidikan (research proposal) sebagai penilaian akhir semester.

Pada semester berikutnya, pelajar melaksanakan kajian secara menyeluruh melibatkan pengumpulan dan analisis data sebelum menghasilkan laporan penyelidikan lengkap dan membentangkan dapatan kajian dalam bentuk poster sempena Decision Science Research Symposium 2026.
Pembentangan poster ini memberi peluang kepada para pelajar berkongsi hasil penyelidikan, mempertahankan dapatan kajian di hadapan panel penilai serta menerima maklum balas profesional daripada pensyarah dan pakar bidang. Selain menjadi sebahagian daripada penilaian akademik, pengalaman ini turut memperkukuh kemahiran komunikasi saintifik, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan keyakinan diri, sekali gus menyediakan mereka untuk menghadapi alam pekerjaan mahupun pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Bagi menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi, simposium ini mempertandingkan empat kategori utama yang mewakili bidang teras dalam Sains Pemutusan, iaitu Data Mining and Decision Support System (DSS), Discrete Event Simulation and System Dynamics, Optimization and Heuristics, serta Multi-Criteria Decision Making (MCDM) and Data Envelopment Analysis (DEA).
Kepelbagaian kategori ini mencerminkan keluasan aplikasi sains pemutusan dalam membantu menyelesaikan isu-isu kompleks melalui analisis data, pemodelan sistem, teknik pengoptimuman serta kaedah pembuatan keputusan berbilang kriteria yang mampu memberi impak kepada organisasi, industri dan masyarakat.

Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan penyelidikan pelajar, sebanyak 24 Anugerah Poster Terbaik telah disampaikan meliputi Gold Award, Silver Award, Bronze Award dan Consolation Award, dengan enam penerima dipilih bagi setiap kategori. Pengiktirafan ini menjadi penghargaan kepada usaha gigih, kreativiti dan komitmen pelajar sepanjang melaksanakan penyelidikan, di samping menggalakkan penghasilan projek yang berkualiti tinggi, inovatif dan berimpak.
Dalam ucapan penutupan, Dekan School of Quantitative Sciences, Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, menegaskan bahawa simposium ini bukan sekadar memenuhi keperluan penilaian kursus, malah merupakan platform penting dalam membentuk graduan yang mampu menyampaikan hasil penyelidikan secara profesional, mempertahankan idea secara ilmiah serta menerima maklum balas yang membina daripada ahli akademik.
Menurut beliau, pengalaman tersebut amat penting dalam melahirkan graduan yang berfikiran kritis, mampu membuat keputusan berasaskan bukti serta berupaya menyelesaikan permasalahan dunia sebenar menggunakan pendekatan saintifik dan analitikal.

Beliau turut menekankan bahawa bidang Sains Pemutusan terus memainkan peranan yang signifikan dalam dunia yang semakin dipacu oleh data dan teknologi. Sehubungan itu, para pelajar disaran agar terus memupuk sifat ingin tahu, menghayati budaya inovasi serta mengaplikasikan pemikiran analitikal dalam menghasilkan penyelesaian yang mampu memberi impak kepada masyarakat, industri dan negara.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pensyarah, panel penilai, penyelia projek serta jawatankuasa penganjur atas komitmen dan dedikasi yang telah dicurahkan dalam menjayakan Decision Science Research Symposium 2026, di samping mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan penerima Anugerah Poster Terbaik atas pencapaian yang membanggakan.
Lebih istimewa, Decision Science Research Symposium 2026 turut mencatat nilai sentimental apabila pelajar yang mengambil kursus SQQZK4993 Projek Akademik merupakan kohort terakhir Program Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Pemutusan) bagi ambilan Semester A231.

Penyertaan kohort terakhir ini menjadi simbol penutup kepada perjalanan program yang telah melahirkan ramai graduan berkualiti dalam bidang sains pemutusan. Simposium ini bukan sahaja meraikan kejayaan penyelidikan mereka, malah menjadi penghormatan kepada legasi sebuah program yang telah menyumbang secara signifikan dalam melahirkan graduan yang berupaya menterjemahkan data kepada keputusan yang bernilai dan berimpak.
Lebih daripada sekadar pertandingan, simposium ini turut mencipta memori yang bermakna buat para pelajar. Ia menjadi detik terakhir mereka berkumpul sebagai satu kohort untuk meraikan hasil usaha sepanjang hampir setahun menjalankan penyelidikan, berkongsi idea bersama rakan dan pensyarah serta menimba pengalaman berharga membentangkan hasil kajian dalam suasana persidangan akademik yang profesional.

Pengalaman ini diharap menjadi bekalan berharga dalam membentuk graduan yang bersedia menghadapi cabaran kerjaya, penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.
Penganjuran Decision Science Research Symposium 2026 membuktikan komitmen School of Quantitative Sciences dalam memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan pembelajaran berasaskan aplikasi.
Selaras dengan tema “From Data to Decisions: Transforming Insights into Impact”, simposium ini bukan sahaja menjadi pentas mempamerkan hasil penyelidikan pelajar, malah melahirkan graduan yang mampu menganalisis data, menghasilkan penyelesaian berasaskan bukti dan menterjemahkan pengetahuan kepada keputusan yang memberi nilai tambah kepada organisasi, masyarakat dan negara. – Dr. Nurul Nazihah Hawari



