Pertandingan kuiz sejarah dan patriotisme 2026: Pertarungan intelektual digital tentukan empat finalis terbaik
Gambar oleh: Galeri Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2026
SINTOK, 18 Jun 2026 – Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme 2026 Negeri Kedah (Peringkat Saringan) telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Massive Open Online Course (MOOC) dengan penyertaan lebih kurang 80 buah sekolah menengah dan 240 orang peserta dari seluruh negeri Kedah.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM), UUM Information Technology (UUMIT) dan University Teaching and Learning Centre (UTLC).

Mengikut Pengarah Pertandingan, Dr Haslinda Hasan, penganjuran pertandingan ini bertujuan untuk meningkatkan minat dan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran Sejarah di samping memupuk semangat patriotisme, jati diri dan kecintaan terhadap warisan serta sejarah negara.
Pelaksanaan pertandingan melalui platform MOOC turut menyokong agenda pendigitalan pendidikan dan penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran serta penilaian akademik.
Kesemua sekolah yang menyertai pertandingan ini telah mengambil bahagian dalam peringkat saringan yang berlangsung dengan lancar dan kompetitif. Para peserta diuji melalui soalan-soalan yang merangkumi pelbagai aspek sejarah yang menguji pengetahuan dan kefahaman pelajar tentang sejarah.
Hasil persaingan yang sengit, empat buah sekolah telah berjaya memperoleh markah tertinggi dan melayakkan diri ke peringkat akhir.

Sekolah yang berjaya ke peringkat akhir ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Aman Jaya, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sarafudin Badlishah, Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Baling.
Kejayaan sekolah-sekolah tersebut membuktikan komitmen tinggi guru dan pelajar dalam menguasai ilmu sejarah serta kesediaan mereka untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua sekolah, guru pembimbing dan peserta yang telah memberikan kerjasama serta komitmen sepanjang pertandingan berlangsung.
Diharapkan pertandingan ini akan terus menjadi platform yang berkesan dalam memperkukuh penghayatan sejarah, memupuk budaya ilmu dan melahirkan generasi muda yang berpengetahuan serta berjati diri tinggi.
Pertandingan peringkat akhir yang bakal berlangsung akan menyaksikan persaingan sengit antara empat sekolah terbaik bagi menentukan juara peringkat negeri Kedah, sekali gus akan mara ke peringkat kebangsaan. – Che Hasniah binti Ya’acob



