Gambar oleh: Abdul Razak bin Abdullah
SINTOK, 30 Jun 2026: Bersempena dengan kedatangan bulan Muharam yang penuh keberkatan, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Agihan Bubur Asyura yang berlangsung di Masjid Sultan Badlishah UUM pada Selasa, 30 Jun 2026.
Program yang dikendalikan oleh staf Pusat Islam UUM dengan kerjasama pelajar-pelajar UUM ini bermula seawal jam 8.00 pagi apabila kerja-kerja penyediaan dan memasak tiga kawah bubur asyura dilaksanakan secara bergotong-royong.

Suasana penuh harmoni dan semangat ukhuwah jelas terpancar apabila para staf dan pelajar berganding bahu menyediakan juadah tradisi yang sinonim dengan bulan Muharam.
Proses penyediaan bubur asyura mengambil masa beberapa jam bagi memastikan rasa, kualiti dan kuantiti yang mencukupi untuk diagihkan kepada para jemaah. Pelbagai bahan seperti beras, kekacang, ubi keledek, jagung, santan serta ramuan istimewa dimasak dengan penuh teliti sehingga menghasilkan bubur asyura yang enak dan berkualiti.
Sejurus selesai Solat Zuhur berjemaah, sebanyak bubur asyura telah diedarkan kepada seluruh jemaah yang hadir. Selain menghidupkan sunnah memberi makan, program ini turut menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kampus melalui budaya gotong-royong dan saling membantu.

Aktiviti seumpama ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk menyemai nilai kesukarelawanan, kepimpinan serta semangat kebersamaan dalam melaksanakan program kemasyarakatan.
Pengarah Pusat Islam UUM dalam ucapannya berkata bahawa penganjuran Program Agihan Bubur Asyura bukan sekadar meneruskan tradisi masyarakat Islam, malah merupakan satu usaha menyuburkan budaya berkongsi rezeki, mengeratkan ukhuwah dan memakmurkan masjid dalam kalangan warga universiti.
“Pusat Islam UUM sentiasa komited menganjurkan program yang mampu menyatukan warga kampus melalui penghayatan nilai-nilai Islam.
Program seperti ini bukan hanya menyediakan juadah, tetapi turut menyemai semangat kebersamaan, kasih sayang dan budaya saling memberi.

Kami berharap amalan berkongsi rezeki serta memakmurkan masjid akan terus menjadi budaya dalam kalangan warga UUM, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan.”
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua staf Pusat Islam dan pelajar yang telah menjayakan program tersebut dan berharap program seperti ini yang merupakan acara tahunan Pusat Islam akan menyumbang hubungan erat dalam kalangan warga kampus serta menyemarakkan syiar Islam di Universiti Utara Malaysia. – Muhammad Syazwan bin Menon



