Education

Humex Malaysia jalin kerjasama strategik bersama Pengurusan TVET UUM perkasa Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

Berita dan gambar oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi Bin Hj. Ahmad

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2026 – Pengurusan TVET Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) daripada Humex Malaysia Skills Development Sdn. Bhd. sebagai langkah awal ke arah menjalin kerjasama strategik dalam pelaksanaan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) dalam bidang keusahawanan.

Penyerahan LOI ini mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi untuk memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi menerusi ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih dinamik dan memenuhi keperluan industri serta masyarakat.

Majlis penyerahan LOI telah berlangsung di Pejabat Pengurusan TVET UUM Kampus Kuala Lumpur. Delegasi Humex Malaysia diketuai oleh Dato’ Haji Mohd Tuah bin Ismail, Pengerusi Humex Malaysia Skills Development Sdn. Bhd., bersama Puan Zainisah Binti Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Humex Malaysia Skills Development Sdn. Bhd.

Sementara itu, Pengurusan TVET UUM diwakili oleh Prof. Madya Ts. Dr. Hj. Shanusi bin Hj. Ahmad, Pengarah Pengurusan TVET UUM, Dr. Norwahida Yaakub, Timbalan Pengarah (Persijilan), serta Encik Kamal bin Khalid, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pengantarabangsaan). Kehadiran barisan kepimpinan kedua-dua organisasi menggambarkan kesungguhan untuk membentuk jaringan kerjasama strategik yang memberi impak kepada pembangunan TVET negara.

Dalam sesi perbincangan, Humex Malaysia menyatakan hasrat untuk menjadikan Pengurusan TVET UUM sebagai rakan strategik rasmi dalam membangunkan dan melaksanakan program pensijilan kompetensi yang memberi manfaat kepada usahawan, graduan, belia, pekerja industri dan komuniti.

Kerjasama yang dicadangkan memberi fokus kepada pelaksanaan Program SKM secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT), sekali gus membuka peluang kepada individu yang mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam bidang keusahawanan memperoleh pengiktirafan kompetensi secara formal mengikut standard yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Pengurusan TVET UUM turut berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam melaksanakan program Persijilan Kemahiran Malaysia, pembangunan latihan profesional serta kolaborasi strategik bersama pelbagai agensi kerajaan dan industri.

Perbincangan turut menyentuh potensi pembangunan program latihan kompetensi, pengiktirafan kemahiran, pembangunan usahawan, peningkatan kapasiti tenaga kerja serta pelaksanaan inisiatif TVET yang mampu memperluaskan akses masyarakat terhadap pensijilan kemahiran kebangsaan.

Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kerjasama ini berpotensi menjadi platform strategik dalam memperkukuh pembangunan bakat, meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta menyokong aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diiktiraf melalui sistem Persijilan Kemahiran Malaysia.

Majlis diakhiri dengan penyerahan rasmi Surat Hasrat (LOI) daripada Humex Malaysia kepada Pengurusan TVET UUM dan Surat persetujuan LOI daripada TVET UUM sebagai simbol permulaan kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi.

Selaras dengan kandungan surat hasrat tersebut, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk meneruskan perbincangan bagi memuktamadkan kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA) pada masa hadapan. Kerjasama ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan program TVET yang lebih inovatif, inklusif dan berimpak tinggi dalam melahirkan modal insan kompeten yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button