Campus

STF IBS UUM perkasa literasi kewangan mahasiswa baharu Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Alor Setar menerusi HACK @ IPT 2026

Gambar oleh: Dr. Fikriyah Abdullah

ALOR SETAR, 6 Julai 2026: Kesedaran mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan perancangan persaraan dalam kalangan generasi muda terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Hari Celik Kewangan (HACK) @ IPT 2026 yang berlangsung di Dewan Utama, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Mergong, Alor Setar, Kedah.

Program yang diadakan dengan kerjasama Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Alor Setar, Dana Sosial Takaful, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Alor Setar itu melibatkan seramai 600 pelajar baharu KPTM bagi Sesi Julai 2026 yang mengikuti program diploma dalam pelbagai bidang pengajian.

Program ini turut menjadi salah satu slot pengisian Minggu Mesra Pelajar Baharu KPTM bagi memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai kepentingan membina asas kewangan yang kukuh, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, simpanan, perancangan persaraan dan persediaan menghadapi kehidupan selepas tamat pengajian.

Slot pertama daripada pihak UUM telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Yazid Bin Isa, Pensyarah Kanan merangkap Pengurus Dana Sosial Takaful (STF), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), UUM.

Beliau menyampaikan taklimat mengenai kepentingan pengurusan kewangan kepada pelajar baharu, termasuk aspek kawalan perbelanjaan, pengurusan aliran tunai, budaya menabung dan perancangan kewangan peribadi.

Dr. Mohamad Yazid berkata, mahasiswa perlu memahami bahawa kestabilan kewangan tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya perlu dibina melalui ilmu, disiplin dan amalan kewangan yang konsisten.

“Mahasiswa hari ini bakal menjadi tenaga kerja dan pemimpin masa hadapan. Oleh itu, mereka perlu dibekalkan dengan kefahaman kewangan yang betul sejak awal supaya mampu mengurus pendapatan, mengawal perbelanjaan dan membuat perancangan kewangan yang lebih tersusun apabila melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau lagi, program seperti HACK @ IPT 2026 berperanan penting dalam merapatkan jurang pengetahuan antara teori dan realiti pengurusan kewangan sebenar yang bakal dihadapi oleh mahasiswa selepas tamat pengajian.

Program kemudiannya diteruskan dengan slot KWSP yang disampaikan oleh Encik Noor Mohd Azrif Bin Idrus, Ketua Perhubungan dan Khidmat Nasihat, KWSP Cawangan Alor Setar. Beliau membincangkan tajuk berkaitan perancangan persaraan pelajar serta memberi penekanan bahawa kesedaran mengenai simpanan dan persaraan tidak seharusnya hanya bermula apabila seseorang memasuki alam pekerjaan.

“Perancangan persaraan bukan hanya untuk mereka yang sudah bekerja, tetapi perlu difahami sejak usia muda. Apabila pelajar mula sedar tentang kepentingan menyimpan dan merancang kewangan lebih awal, mereka akan lebih bersedia untuk membina masa depan yang stabil dan terjamin,” katanya.

Tambah beliau, mahasiswa perlu melihat simpanan sebagai satu bentuk disiplin kewangan yang penting, bukan sekadar lebihan wang selepas berbelanja. Pendedahan awal seumpama ini dapat membantu pelajar membuat keputusan kewangan yang lebih bijak apabila mula memperoleh pendapatan sendiri kelak.

UUM turut diwakili oleh Dr. Mohd Badrul Hakimi Bin Daud dan Dr. Tubagus Thresna Irijanto, Pensyarah Kanan daripada Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), serta Dr. Fikriyah Binti Abdullah dan Encik Khairul Anuar Adnan, Pensyarah Kanan daripada Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), UUM

Sepanjang program berlangsung, para peserta memberikan komitmen yang tinggi serta menunjukkan minat mendalam terhadap isu-isu berkaitan pengurusan kewangan dan perancangan masa depan.

Penganjuran program ini turut mencerminkan usaha berterusan KPTM, UUM dan KWSP dalam memperkukuh literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa sejak di peringkat awal pengajian.

Melalui penganjuran HACK @ IPT 2026, kerjasama strategik antara KPTM, UUM dan KWSP Cawangan Alor Setar terus diperkukuh bagi membentuk generasi muda yang lebih celik kewangan, bijak membuat keputusan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.- Khairul Anuar Adnan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button