Campus

Hari jaya waris SPI Pusat Islam UUM perkukuh jalinan kerjasama sekolah dan waris

Berita dan gambar oleh: Sharif Abdus Salam Sharif Saad

SINTOK, 7 Julai 2025: Sekolah Pendidikan Islam (SPI), Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Hari Jaya Waris pada Selasa sebagai medium memperkukuh hubungan strategik antara pihak sekolah dengan ibu bapa dan penjaga dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik, sahsiah dan penghayatan nilai-nilai Islam.

Program yang berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 5.15 petang di kelas masing-masing itu memberi ruang kepada ibu bapa dan penjaga untuk menerima laporan keputusan peperiksaan anak-anak serta mengadakan sesi perbincangan secara bersemuka bersama guru berhubung prestasi akademik, perkembangan sahsiah, disiplin dan pembelajaran pelajar.

Melalui sesi tersebut, para guru berkongsi pencapaian, potensi serta aspek yang memerlukan penambahbaikan bagi setiap pelajar, manakala ibu bapa dan penjaga turut diberikan peluang untuk bertukar pandangan serta membincangkan pendekatan terbaik dalam memperkukuh perkembangan akademik dan pembentukan sahsiah anak-anak.

Penganjuran Hari Jaya Waris mencerminkan komitmen berterusan Sekolah Pendidikan Islam, Pusat Islam UUM dalam memperkasakan budaya kolaboratif antara institusi pendidikan dan keluarga. Kerjasama erat ini diyakini mampu mewujudkan ekosistem pendidikan yang kondusif, sekali gus menyokong pembangunan modal insan yang holistik, berdaya saing dan berteraskan nilai-nilai Islam.

Seiring dengan aspirasi Universiti Utara Malaysia untuk membangunkan insan yang berilmu, berintegriti dan berbakti kepada masyarakat, penglibatan aktif ibu bapa dan penjaga dalam program seumpama ini menjadi elemen penting dalam memastikan kecemerlangan pelajar dapat diperkasakan secara berterusan.

Pihak Sekolah Pendidikan Islam, Pusat Islam UUM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu bapa dan penjaga atas kehadiran serta komitmen yang diberikan sepanjang program berlangsung.

Diharapkan jalinan kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh demi merealisasikan agenda kecemerlangan pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button